fbpx

Azroy mampu raih gelaran CP150

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AZROY bakal memulakan perlumbaan Pusingan 7 hari ini di petak hadapan selepas merekodkan masa terpantas pada sesi kelayakan semalam.

PENGURUS pasukan Honda Yuzy Racing, Shahrol Yuzy Ahmad Zaini meletakkan sepenuh keyakinan kepada pelumbanya, Azroy Hakeem Anuar untuk muncul juara keseluruhan berbaki dua pusingan perlumbaan Kejuaraan Cub Prix Malasysia Petronas musim ini.

Azroy kini di kedudukan pertama perlumbaan CP150, namun peluangnya untuk memburu gelaran musim ini sedikit mencabar apabila berkongsi 107 mata dengan pelumba pasukan ­HI-REV SCK Honda Racing, Mohd. Helmi Azman.

Bagaimanapun, peluangnya untuk muncul juara musim 2020 dilihat cerah apabila menempah petak hadapan selepas merekodkan ujian masa terpantas perlumbaan pusingan 7 di Litar Antarabangsa Sepang (utara) ­semalam.

Lebih menarik, Azroy menampilkan aksi cukup agresif apabila merekodkan masa terpantas 1 minit 16.426 saat sekali gus mencatat rekod sepusingan baharu di litar tersebut.

“Saya yakin Azroy mampu menggunakan peluang dalam baki dua perlumbaan ini sebaik mungkin. Tidak mustahil Azroy bakal melakukan kejutan sekali gus mampu muncul juara keseluruhan CP150.

“Pada sesi kelayakan, Azroy tampil cemerlang apabila merekodkan masa terpantas dan akan memulakan saingan petak hadapan esok.

“Saya akui perlumbaan musim ini sangat mencabar tetapi kami telah melakukan persiapan sebaik mungkin untuk memastikan impian pasukan untuk muncul juara terlaksana,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Dalam pada itu, Shahrol Yuzy turut yakin peluang pasukannya untuk memburu selaku pasukan terbaik masih terbuka selepas hanya dipisahkan 21 mata dengan HI-REV SCK Honda Racing.

Pusingan 5 dan 6 diadakan pada 18 hingga 20 Disember, manakala pusingan 7 dan 8 bermula semalam selama dua hari.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI