fbpx

‘Bunga’ 20 peratus seminggu, 7 along didakwa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KESEMUA tertuduh diiringi anggota polis selepas didakwa di Mahkamah Majistret Melaka, hari ini. - Foto oleh SYAFEEQ AHMAD / KOSMO!

MELAKA – Tujuh ahli sindiket along didenda antara RM2,000 hingga RM2,500 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah menjalankan kegiatan pinjaman wang tanpa lesen, bulan lalu.

Majistret Khairunnisak Hassni menjatuhkan hukuman itu selepas menerima pengakuan bersalah tertuduh, Gabriel Ng Jia Rong, 29; Lai Kok Peng, 48; Chong Kok Wei, 22; Mah Chung Ming, 18; Pang Xuan Yi, 18; Celine Tan Yan Yi, 18, dan Tan Wui Hong, 52, sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Berdasarkan kertas pertuduhan, kesemua tertuduh didapati telah menjadi pihak kepada suatu pakatan jahat jenayah untuk melakukan kesalahan iaitu memberi pinjaman wang tanpa lesen.

Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 12.40 tengah hari di sebuah rumah bernombor, Parkland Residence, Jalan Tun Perak dalam daerah Melaka Tengah pada 25 Jun 2024.

Sabit kesalahan kesemua tertuduh boleh dihukum penjara tidak lebih dua tahun atau denda maksimum RM20,000 atau keduanya sekali mengikut Seksyen 120B(1) Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 29AA Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 (Akta 400).

Mengikut fakta kes, kesemua tertuduh ditahan Unit Risikan Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di sebuah kondominium mewah dalam Op Vulture pada 25 Jun lalu.

Sindiket tersebut menyasarkan pelanggan sekitar Melaka, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Johor dengan tawaran pinjaman antara RM500 dan RM5,000 serta mengenakan faedah sehingga 20 peratus seminggu.

Timbalan Pendakwa Raya, Wardah Ishhar memohon hukuman setimpal dikenakan kerana kesemua tertuduh bersubahat bekerja sebagai along tidak berdaftar.

Peguam Umar Zulkarnain yang mewakili kesemua tertuduh merayu hukuman denda minimum dengan alasan anak guamnya telah insaf dan hanya berpendapatan antara RM1,500 dan RM2,000 sebulan.

Mahkmah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM2,000 terhadap Chung Min, Xuan Yi dan Yan Yi manakala Jia Rong, Kok Peng, Kok Wei dan Wui Hong didenda RM2,500 atau tiga bulan penjara jika kesemua tertuduh gagal membayar denda. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI