MISSOURI – Tuan rumah Copa America, Amerika Syarikat (AS) terpaksa menanggung malu apabila terkandas di peringkat kumpulan dan gagal melayakkan diri ke pusingan kalah mati susulan kekalahan 0-1 kepada Uruguay di Stadium Arrowhead hari ini.
Kekalahan dalam aksi terakhir peringkat Kumpulan C itu menyaksikan The Stars and Stripes terpaksa akur menghuni tangga kedua dengan hanya mengutip tiga mata daripada tiga perlawanan.
Keputusan tersebut menyaksikan AS gagal mengulangi pencapaian terbaik mereka yang pernah meraih tempat keempat sewaktu edisi 2016 yang ketika itu turut berlangsung di negara sendiri sepanjang lima jemputan beraksi di pentas Copa America.
Penyingkiran itu turut membayangkan masa depan pengendali AS, Gregg Berhalter untuk meneruskan tugasnya bersama pasukan tersebut menjelang kejohanan berprestij seterusnya di laman sendiri iaitu Piala Dunia 2026.
“Jika kita tidak layak ke pusingan seterusnya, adakah kerja saya akan dipertaruhkan? Itu bukan untuk saya tentukan,” kata Berhalter seakan menyerahkan segalanya kepada pihak pengurusan.
AS yang akan menjadi tuan rumah Piala Dunia 2026 bersama Kanada dan Mexico, tewas kepada Uruguay hasil jaringan tunggal Mathias Olivera pada minit ke-66.
Bagaimanapun, AS yang membariskan skuad ‘generasi emas’ diketuai penyerang AC Milan, Christian Pulisic harus menyalahkan diri sendiri kerana gagal memanfaatkan setiap peluang terbaik dimiliki untuk meledak gol ke atas Uruguay. – AGENSI