MUNICH – Pemenang Anugerah Pemain Terbaik Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) 2020, Robert Lewandowski (Lewy) mengakui persembahan sejak beberapa musim lalu belum menyamai apa yang dilakukan oleh Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo.
Messi dan Ronaldo mendominasi Anugerah Ballon d’Or sepanjang 11 musim lalu kecuali pada 2018 yang dimenangi oleh Luka Modric, namun musim ini anugerah berkenaan dibekukan kerana pandemik Covid-19.
Lewandowski menjadi watak utama ketika Bayern Munich berjaya merangkul kejuaraan Bundesliga dan Liga Juara-Juara musim lalu.
Bagaimanapun, bintang Poland itu tidak berminat untuk bercakap mengenai perbandingan antara dirinya dan dua pemain berkenaan kerana kesemua mereka mempunyai kelebihan masing-masing.
“Messi dan Ronaldo berada pada ‘meja’ yang sama untuk tempoh yang agak lama dan membuatkan mereka tidak boleh dijadikan perbandingan dengan pemain lain.
“Untuk menjawab persoalan anda, saya tidak dapat bayangkan bagaimana saya mampu untuk berada ‘semeja’ dengan mereka.
“Namun, jika melihat kepada statistik persembahan saya untuk musim lalu dan sebelum itu, saya fikir sudah memberikan yang terbaik dalam aspek prestasi dan jumlah jaringan gol.
“Berada ‘semeja’ dengan Messi dan Ronaldo agak mustahil tetapi saya mungkin boleh menjemput mereka untuk berada di ‘meja’ saya,” katanya berseloroh. – AGENSI