PETALING JAYA – Pendakwah terkenal, Ebit Lew, mengajar ucapan kalimah syahadah kepada tujuh sekeluarga yang berniaga buah di Medan Gopeng, Ipoh, Perak, hari ini.
Menerusi hantaran di Facebook rasminya hari ini, Ebit memaklumkan setiap hari ibu dan anak keluarga itu melihat video pendakwah terbabit di Facebook.
“Mereka menangis melihat orang susah di video tersebut dan hati mereka terbuka untuk memeluk Islam.
“Anaknya juga ingin menjadi seorang jutawan dan ingin membantu orang ramai yang berada dalam kesusahan,” tulisnya.
Katanya, dia kagum melihat keluarga itu yang rajin berniaga.
“Saya beli buah, mereka ambil dan congak sahaja, kakak bantu jaga adik-adik, hebat ibu dan ayah ini.
“Saya hadiahkan basikal kepada anak-anaknya, kerana saya difahamkan mereka tengah mengumpul duit untuk membeli basikal,” jelasnya.
Tambahnya, dia mengucapkan ribuan terima kasih kepada ustaz Hafiz Ng dari Jabatan Agama Perak dan ahli jawatankuasa (AJK) Masjid Cina yang membantu keluarga terbabit.
“Tidak dilupakan juga kepada Adnan Azizi tauke kedai telur dan semua yang membantu,” ujarnya. – K! ONLINE