BELUM pun menemui penonton, animasi terbitan lokal, Robozeta berjaya mencuri perhatian negara luar apabila dilamar oleh sebuah stesen televisyen antarabangsa.
Diproduksikan Red Circle Studio Sdn. Bhd. bersama barisan pasukan animasi yang berbakat besar, peluang keemasan tersebut diraih pasukan tersebut tatkala seluruh dunia berdepan pandemik Covid-19.
Pengarah Robozeta, Muhammad Dzahiruddin Ahmad Zabidi berkata, pihaknya berbangga dengan pencapaian berkenaan kerana animasi tersebut belum disaksikan kehebatannya sebagaimana siri animasi popular lain seperti Ejen Ali, Upin & Ipin mahupun BoBoiBoy.
“Sebuah syarikat penyiaran televisyen popular antarabangsa amat berminat menjadikan Robozeta sebagai sebuah program siaran mereka. Bagaimanapun ketika ini kami masih terikat dengan kontrak bersama Astro Ceria,” katanya.
Tambah Dzahiruddin lagi, pihaknya mengambil inisiatif menghantar proposal kepada syarikat penyiaran dan stesen TV antarabangsa untuk menguji sejauh mana Robozeta mampu mengembangkan pengaruhnya sebagai program kanak-kanak yang relevan untuk tontonan dunia.
“Oleh kerana dunia dilanda penularan pandemik Covid-19 sejak awal tahun ini, Red Circle Studio terpanggil untuk mengintai peluang mendekati syarikat penyiaran dan pengedar program antarabangsa.
“Cara itu secara tidak langsung mewujudkan hubungan dua hala yang boleh dimanfaatkan pada masa akan datang. Tambahan pula, ketika ini banyak kerja-kerja produksi tergendala akibat pandemik Covid-19 menyebabkan banyak stesen televisyen ketandusan kandungan baharu.
Dana
“Syarikat penerbitan antarabangsa sememangnya mengalu-alukan kandungan program dari luar negara, bagi menampung kekosongan,” katanya.
Bermula daripada projek khas untuk sebuah pertandingan, sekali gus muncul pemenang program IPCC 2016 MDEC, Red Circle Studio mengembangkan Robozeta mengorak langkah lebih berani menghasilkan Robozeta sebanyak 13 episod.
Dengan peruntukan dana hampir setengah juta diperoleh daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), yang boleh dianggap agak kecil berbanding dana diterima produksi lain, Red Circle Studio, membuktikan mereka mampu menghasilkan karya setanding antarabangsa.
Percaya bahawa membina jenama yang kukuh di negara sendiri sentiasa menjadi keutamaan, Robozeta mengisahkan lima adiwira iaitu Riko, Jango, Rexx, Bepop dan Ely bersatu untuk mempertahankan Zenochip.
Kesemua 13 episod siri animasi tersebut akan ditayangkan bermula esok di saluran Astro Ceria pukul 4.30 petang.
Berdurasi selama 22 minit, Robozeta adalah siri animasi 3D berbahasa Melayu dan bergenre aksi komedi.
Informasi mengenainya juga boleh didapatkan menerusi media sosial Robozeta menerusi Facebook, Instagram, YouTube atau laman web, http://www.redcircle.com.my.