fbpx

KWC hab fesyen popular di kota raya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penganjuran program Pencarian Model KWC begitu sinonim dengan misi pusat beli-belah itu yang kini menjadi hab fesyen popular yang menawarkan pelbagai kategori fesyen moden sehingga pakaian Muslimah pada harga borong menarik.

KWC Fashion Wholesale (KWC) adalah pusat beli-belah berkaitan fesyen borong pertama di negara ini yang menawarkan koleksi terbesar serta komprehensif meliputi fesyen, aksesori serta barangan keperluan lain yang dijual pada harga yang menarik.

Sebanyak 80 peratus daripada 800 lot niaga yang terdapat dalam pusat beli-belah setinggi sembilan tingkat di Pudu, Kuala Lumpur itu telah dibeli atau disewa oleh pelbagai peniaga daripada pelbagai kategori perniagaan.

Pada musim perayaan, KWC adalah pusat tumpuan yang bersesuaian untuk memenuhi keperluan pelanggan kerana ia menyediakan semua keperluan di bawah satu bumbung, malah konsep borong yang menggalakkan pembelian barang yang lebih banyak membolehkan pelanggan menikmati harga yang lebih murah.

Pengurus Bahagian Pengiklanan dan Pemasaran KWC, Wendy Lam menjelaskan, pihaknya sentiasa sibuk menjalankan pelbagai promosi dan program menarik untuk terus mengukuhkan jenama pusat beli-belah itu.

“Bayangkan harga di sini sudah murah, jadi dengan promosi penghabisan stok yang dianjurkan, ia akan membolehkan lebih ramai pelanggan mengambil peluang mendapat manfaat daripada harga runtuh tersebut,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

KOSMO!: KWC telah bertapak kukuh di Kuala Lumpur, bagaimana pencapaiannya?
Wendy Lam: KWC sudah berusia 13 tahun dan ter­kenal sebagai hab fesyen moden dan tradisional, malah popular dalam kalangan pengunjung untuk mendapatkan pelbagai pa­kaian Muslimah kerana semuanya terdapat di sini di bawah satu bumbung.

Pusat beli-belah ini juga sen­tiasa menjadi pilihan pengunjung dari luar negara kerana lokasi­nya yang strategik serta mereka boleh mendapatkan segala jenis ka­tegori pakaian dan fesyen selain barangan keperluan lain.

Siapakah mereka yang berniaga di KWC?
Kami ada dua pelanggan yang terdiri daripada pemilik lot niaga sendiri dan berniaga, manakala satu lagi kumpulan terdiri daripada penyewa.

Kedua-dua segmen pelanggan ini adalah pen­ting buat kami meskipun dia adalah penyewa tetapi dengan sokongan yang kami berikan, pastinya jualan meningkat sekali gus akan memberi pendapatan sewa yang baik kepada pemilik lot niaga tersebut.

Adakah objektif KWC kini sudah tercapai?
Ya, sudah pasti, menariknya setiap lot di sini adalah milik peniaga, yang mana ia sama se­perti konsep membeli kondomi­nium dan itu adalah aset mereka.

Kami adalah syarikat yang me­nguruskan pusat beli-belah ini dan menyediakan segala keperluan yang lengkap, malah kami juga akan terus memastikan nilai hartanah di sini terus meningkat.

Bagaimana sambutan p­e­langgan masa kini?
Sangat menggalakkan tetapi kadarnya ada masa ia turun dan juga naik tetapi bagi musim beli-belah sebelum dan pada bulan Ramadan, jumlah pengunjung boleh mencecah kepada lebih 500,000 orang dalam tempoh sebulan.

Apakah program terbaharu KWC tahun ini?
Kami baru sahaja menganjurkan Pencarian Model KWC yang mana pada tahun ini kami mendapat sambutan yang baik daripada peserta dan juga penganjur.

Program ini telah bermula sejak tahun 2018 dan ini adalah tahun kelima dilaksanakan bertujuan memberi peluang kepada wanita muda menonjolkan bakat sebagai seorang peragawati yang berkeyakinan tinggi, kreatif, berinovatif.

Ia juga memberi peluang kepada kami untuk memperkasa wanita dengan fesyen, kecantikan dan hiburan.

Berapa ramai peserta pada tahun ini dan adakah program tersebut akan diteruskan?
Seramai 30 peserta terpilih daripada 200 penyertaan yang diterima secara online, kemu­dian mereka perlu melalui pelbagai uji bakat.

Proses pemilihan telah bermula sejak bulan September tahun lalu dan mereka perlu me­lakukan pelbagai tugasan seperti peragaan dalam video kempen raya KWC, pengacara program dan juga berlakon dalam drama­ pendek.

Program Pencari­an Model KWC akan diteruskan lagi dan permohonan bagi tahun 2025 akan bermula pada suku terakhir tahun ini. -KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI