PETALING JAYA – Setelah enam bulan menerajui Kementerian Pertahanan (MINDEF), Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin telah menyalurkan peruntukan hampir RM400 juta bagi projek senggaraan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT).
Jumlah tersebut adalah sebahagian daripada peruntukan yang diperolehi MINDEF pada pembentangan Belanjawan 2024 iaitu kira-kira RM19.7 bilion.
Kesemua peruntukan untuk RKAT itu telah disalurkan Menteri Pertahanan semasa lawatan kerja ke 10 buah kem Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di seluruh negara bermula 10 Mac sehingga 4 Jun lalu.
Antara kem yang telah dilawati termasuklah Kem Perdana Sungai Besi, Kuala Lumpur; Pangkalan Udara (PU) Subang, Selangor; Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Johor Bahru, Johor; Kem Ulu Tiram, Johor dan Kem Erskine, Kuala Kubu Bharu, Selangor.
Turut dilawati Kem Seri Pantai, Terengganu; Kem Terendak, Melaka; Kem Mahkota, Kluang, Johor; Markas Angkatan Bersama (MAB), Kuantan, Pahang dan Pangkalan TLDM Lumut, Perak.
Menerusi peruntukan tersebut, MINDEF akan membaik pulih sebanyak 28,808 unit kediaman RKAT di 48 buah kem di seluruh negara.
Menurut Mohamed Khaled, daripada jumlah peruntukan itu, Tentera Darat Malaysia (TDM) diberi sebanyak RM199.5 juta untuk penyelenggaraan RKAT anggotanya.
Beliau berkata, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan TLDM pula masing-masing mendapat peruntukan sebanyak RM69.5 juta.
“Pada tahun ini semua rumah yang didiami anggota di seluruh negara akan dibaiki, jadi tiada lagi anggota yang akan terganggu apabila bertugas seperti bumbung bocor atau mereka terpaksa mengeluarkan perbelanjaan sendiri.
“Ini menunjukkan kerajaan komited soal kebajikan anggota kerana kita menghargai pengorbanan dan sumbangan mereka yang menjaga keselamatan serta kedaulatan negara,” katanya pada sidang akhbar ketika melawat rumah RKAT Taman Seruling, Kem Erskine, Kuala Kubu Bharu baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, MINDEF memberi perhatian serius terhadap isu penyelenggaraan kerana percaya ia boleh membantu kesejahteraan kehidupan anggota.
“Kita tahu dengan adanya rumah yang sempurna, maka anggota bukan sahaja boleh membina keluarga bahagia tetapi dapat menjalankan tugas dengan baik.
“Tidak perlu lagi mereka memikirkan keadaan keselamatan keluarga apabila bertugas. Atas keprihatinan itu, kerajaan merasakan sudah sampai masanya rumah RKAT dinaik taraf dan diselenggarakan,” katanya.
Pada masa ini terdapat sebanyak 4,700 unit RKAT yang disiapkan oleh MINDEF secara berperingkat.
Bagaimanapun, MINDEF menyasarkan lebih 8,000 unit RKAT siap dibina menjelang tahun 2025 bagi memenuhi keperluan semasa.
Ini menandakan MINDEF sedang giat memastikan warga ATM tinggal dalam persekitaran yang selesa dan selamat.
Perkara ini ditegaskan oleh Mohamed Khaled pada 8 Februari lalu yang mengatakan MINDEF sentiasa peka terhadap segala permasalahan yang dibangkitkan anggotanya.
“Saya beri komitmen bahawa kementerian ini akan memberikan perhatian terhadap perkara yang telah dibangkitkan.
“Segala bantuan dan keperluan tentera serta para veteran sentiasa ditambah baik setiap tahun. Semua ini dilakukan demi memastikan kebajikan mereka sentiasa terjaga dan terpelihara,” katanya. -KOSMO! ONLINE