JAKARTA – Sebuah majlis perkahwinan di Pekalongan, wilayah Jawa Tengah menjadi perhatian pengguna media sosial kerana menampilkan pelamin dibina tinggi bagi memudahkan laluan kenderaan, lapor laman berita Detik semalam.
Berdasarkan klip video yang dimuat naik di laman Instagram, sebuah motosikal dilihat melintasi pelamin itu dengan bergerak melalui bahagian bawahnya.
Pada masa sama, pasangan pengantin dan keluarga mereka duduk di atas pelamin dengan bersahaja dan bersiap sedia untuk bergambar.
“Majlis berjalan dengan lancar, lalu lintas juga lancar. Kenderaan masih boleh melalui (jalan) ya,” kata keterangan video tersebut.
Menurut individu yang memuat naik video itu yang dikenali sebagai Yono, pentas pelamin terpaksa dibina tinggi kerana masalah kekurangan ruang untuk mengadakan majlis tersebut.
“Lokasi majlis di sekitar kawasan tanah tinggi. Ia tidak mempunyai ruang yang luas dan yang ada hanya kawasan ini. Jalan alternatif untuk kenderaan lalu-lalang juga tiada,” kata Yono.
Video tersebut menjadi tular dan menerima pelbagai komen netizen.
“Inilah yang dimaksudkan dengan ‘naik pelamin’,” kata seorang netizen.
“Adakah jurugambar perlu terbang?” kata pengguna media sosial lain. – AGENSI