BARU-baru ini penulis ada menerima satu e-mel daripada sebuah syarikat swasta yang tidak berpuas hati nama syarikatnya ditulis dan disiarkan dalam satu pertuduhan melibatkan rasuah.
Dalam teguran yang dikirimkan melalui e-mel, syarikat itu meminta secara baik untuk penulis memadamkan nama syarikatnya.
Syarikat itu juga turut mengirimkan e-mel sama kepada beberapa agensi media lain.
Sebenarnya, situasi itu bukanlah perkara baharu dalam kes mahkamah kerana sebelum ini, terdapat kes sama ada pihak yang tidak berpuas hati apabila nama, alamat, nama syarikat atau apa sahaja melibatkan identiti mereka dipaparkan secara terbuka mengikut pertuduhan.
Sebab itu, setiap kali kes-kes pertuduhan mahkamah, penulis terpaksa berhati-hati tatkala melaporkan apa yang perlu ditulis dan apa yang tidak boleh ditulis.
Bagi peguam Mohd. Ridhwan Husin, beliau berpendapat tidak salah sekiranya sesuatu laporan itu ditulis secara terperinci asalkan laporan tersebut ditulis dengan penggunaan bahasa yang baik tanpa menyinggung mana-mana pihak.
“Kebebasan menulis adalah hak akhbar kerana ia merupakan medium untuk memberi pengajaran dan kebenaran kepada masyarakat apatah lagi melibatkan kes-kes mahkamah.
“Namun kebebasan itu bukanlah tiket untuk menulis sewenang-wenangnya kerana apa yang akan disiarkan bakal memberi impak pada penulis itu sendiri dan isu yang ditulis,” katanya.
Ujar beliau yang juga Penolong Setiausaha Agung Persatuan Peguam Syarie Malaysia, meskipun kes-kes mahkamah adalah mahkamah terbuka (open court) dan didengar oleh khalayak, aspek privasi juga perlu diutamakan dalam melaporkan sesuatu berita.
Katanya sebagai contoh, jika ia melibatkan kes kanak-kanak atau jenayah seksual pertuduhan yang ditulis perlu ditapis kerana jika laporan dikeluarkan terlalu terperinci ia akan memberikan impak negatif bukan sahaja terhadap laporan itu malah kepada individu yang namanya tertera dalam kertas pertuduhan.
“Pada hemat saya, tidak salah untuk melaporkan apa sahaja kes mahkamah atau mendedahkan apa yang terkandung dalam kertas pertuduhan asalkan tidak melanggar etika kewartawanan.
“Perlu diingat kes yang dituduh terhadap orang kena tuduh belum lagi disabitkan bersalah kerana yang akan membuat keputusan adalah hakim mahkamah,” tegasnya.
Pada September lalu dalam satu majlis sempena Malam Wartawan Malaysia 2020, Menteri Pendidikan, Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin ada mengatakan maklumat sahih dan laporan berita yang seimbang akan menjadi pegangan masyarakat ketika banyak pihak ‘sangat berminat’ untuk menjadi wartawan ketika ini.
Beliau memberitahu, penulisan berita yang menegakkan nilai integriti, relevan serta sahih perlu menjadi pegangan wartawan dalam menghasilkan sesuatu berita.
Kata beliau, wartawan perlu menegakkan etika dalam bidang kewartawanan walaupun konteks kewartawanan kini sudah berubah.
“Terus berpegang kepada kod etika dalam bidang penulisan bagi membezakan diri sebagai golongan profesional dengan individu yang menyebarkan maklumat tidak tepat,” kata Dr. Radzi
Menurutnya, amat penting dunia kewartawanan hari ini terus berpegang kepada core values (nilai teras) untuk memastikan masyarakat boleh berpegang kepada berita, maklumat yang ditulis dan analisis oleh wartawan serta penulis.
Akhir kata, tidak salah menulis menggunakan jalan cerita menarik tetapi ia mestilah sahih dan tidak mengubah fakta dan menyinggung hati sesiapa.