PETALING JAYA – Pengumuman pembukaan tempat di matrikulasi kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang memperoleh 10A dan ke atas tanpa mengira kaum bukan perkara yang perlu dibimbangkan.
Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, sebaliknya perkara perlu dirisaukan adalah mereka yang gagal dalam SPM atau lulus tanpa kredit dalam peperiksaan tersebut sekali gus tidak layak untuk memasuki matrikulasi.
“Ramai risau bila Perdana Menteri umum semua lepasan SPM dengan 10A layak masuk matrikulasi tanpa kira kaum, sedangkan beliau hanya memberikan jaminan yang sememangnya dilaksanakan sejak dulu lagi. Kuota bumiputera untuk masuk ke pusat matrikulasi tetap kekal terjamin.
“Yang patut dirisaukan lebih 280,000 yang gagal SPM atau hanya lulus tanpa kredit. Mereka ini tercicir dan tidak layak masuk Matrikulasi.
“Itu tidak termasuk 10,160 yang tidak hadir SPM walaupun telah berdaftar dan lebih 30,000 secara purata setahun yang tidak mendaftar untuk mengambil SPM,” katanya pada hantaran Facebook hari ini.
Beliau kemudian mencadangkan solusi bagi pelajar tersebut ialah Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).
“Jawapannya ialah TVET. Sebab itulah Dasar TVET Negara diwujudkan dengan Majlis TVET Negara yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi untuk menyelaras 1,345 institusi TVET di bawah 12 kementerian yang menawarkan lebih 4,000 pelbagai bidang kemahiran TVET dengan peluang penempatan untuk lebih 250,000 tempat.
“Mara sendiri punya insitusi-institusi TVET terbanyak dengan 270 institusi terdiri daripada GiatMara, Institut Kemahiran Mara, Kolej Kemahiran Tinggi Mara hinggalah Universiti Kuala Lumpur,” katanya.
Beliau berkata, hari ini negara sudah mengiktiraf TVET sebagai aliran pendidikan perdana dan tidak lagi memerlukan SPM sahaja sebagai syarat minima untuk bekerja.
“Malah dengan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3, pelajar boleh sambung peringkat diploma, manakala SKM Tahap 5 boleh terus sambung ijazah sarjana muda tanpa perlu mengambil SPM,” ujarnya.
Semalam, media melaporkan, kerajaan memberi jaminan bahawa pelajar lepasan SPM yang memperoleh keputusan 10A dan ke atas, akan diberikan ruang menyambung pengajian di matrikulasi.
Anwar dipetik berkata, perkara tersebut adalah hasil perbincangan Jemaah Menteri pada Jumaat lalu. – KOSMO! ONLINE