MUNICH – Selepas tiga aksi awal peringkat Kumpulan D yang cukup hambar, Belanda seharusnya melakukan perubahan apabila mereka sekadar layak ke pusingan 16 terbaik sebagai pasukan tempat ketiga.
Empat mata yang dikutip hasil satu kemenangan dan satu seri serta kekalahan kepada Austria pada perlawanan terakhir seharusnya menjadi peringatan penting buat The Oranje untuk melakukan perubahan besar bagi memastikan slot suku akhir menjadi milik mereka.
Belanda harus memastikan setiap pemain yang diturunkan tidak melakukan kesilapan sekali gus mampu mengelak dipalit aib oleh Romania yang bakal dihadapi pada aksi tengah malam ini di Allianz Arena.
Penyerang Belanda, Memphis Depay mendedahkan bahawa rakan sepasukannya kekal bermotivasi untuk melihat lebih ke depan berbanding meratapi keputusan mengecewakan di peringkat kumpulan.
Depay menjelaskan seluruh pasukan sudah pun melakukan perbincangan dalaman bagi untuk mengenal pasti apa yang perlu dilakukan selepas ini.
“Kami perlu memastikan yang kami mempelajari sesuatu daripada kesilapan sendiri. Kami melakukan perbincangan dan saling mengkritik antara satu sama lain. Pergeseran adalah perkara normal. Namun, semua itu sudah pun diselesaikan.
“Sekarang semangat pasukan berada pada tahap terbaik dan kami tidak sabar untuk berdepan perlawanan selepas ini.
“Saya dapat rasakan keyakinan jurulatih dan saya mahu membalasnya. Sudah pasti adalah sesuatu yang cukup penting untuk kami mendapat sokongan daripada individu yang membuat pemilihan ke atas pasukan.” katanya. – AGENSI