fbpx

Euro 2024: Slovakia akui langsung tidak kecewa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
IVAN Schranz berjaya meletakkan Slovakia di depan dengan meledak gol pembukaan ketika menentang England awal pagi semalam. - AFP

GELSENKIRCHEN – Ketua Jurulatih Slovakia, Francesco Calzona melahirkan rasa bangga dengan prestasi dipamerkan para pemain yang hampir melakar kejutan mara ke suku akhir Euro awal pagi semalam.

Bagaimanapun, impian mereka itu tidak kesampaian selepas tewas 1-2 kepada England di Veltins Arena biarpun berjaya mendahulu sehingga minit ke-95 sebelum Jude Bellingham menjaringkan gol penyamaan dan Harry Kane meledak gol kemenangan pada masa tambahan.

“Sudah pasti saya berasa sangat bangga. Kami berdepan pasukan yang hebat, salah satu calon juara untuk kejohanan ini, tetapi kami masih mampu memberikan mereka tentangan sengit dan kesukaran sepanjang perlawanan.

“Pasukan ini telah menunjukkan kualiti kepada para peminat. Mereka sangat hebat apabila hanya memberikan sedikit ruang buat England dan berjaya membuatkan mereka berdepan masalah,” jelasnya.

Dalam pada itu, Calzona turut mengulas mengenai insiden tegang melibatkannya dengan pemain tengah bertahan The Three Lions, Declan Rice selepas wisel penamat ditiupkan yang menjadi perhatian.

Kejadian itu menyaksikan Calzona meluru ke padang untuk bercakap dengan pengadil perlawanan, Umut Meler, namun Rice dilihat menghalangnya dan berkata sesuatu yang mencetuskan insiden tolak menolak itu.

Bagaimanapun, situasi itu berjaya dileraikan oleh beberapa pemain England yang lain dan pengendali Slovakia itu mengakui tujuannya adalah untuk mempersoalkan keputusan pengadil tidak memberikan amaran kepada pemain lawan yang sengaja melengah-lengahkan masa.

“Dia (Rice) sepatutnya tidak berada di situ ketika saya bertemu pengadil, tetapi dia mahu terus mendengar perbualan itu. Saya tidak suka dengan cara pemain-pemain England yang melambat-lambatkan permainan dan mereka tidak dihukum.

“Bagaimanapun, insiden bersama Rice saya anggap sudah selesai apabila dia datang yang memohon maaf. Semuanya dalam keadaan baik,” jelasnya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI