BENARLAH!Ada modal nak bercerita, ada benda nak diniaga, bila akhir dia tersedar, siapakah aku sebenar! Spider memang ada kuasa, ada cerita dan lagu-lagu bertenaga dan terbukti sengatnya kekal berbisa.
Itu antara yang masih terbawa-bawa saat melepaskan rasa, bila lagi nak saksi Spider usai konsert Spider Keluar Sarang Live In Kuala Lumpur 2024 yang menghimpunkan selaut peminat cinta ‘dewa dewi’nya di Zepp Kuala Lumpur tempoh hari.
Zepp menjadi saksi persembahan cemerlang kumpulan itu disambut gema suara penonton sebaik vokalisnya, Tam dan rakan seperjuangan membuka langkah menguasai pentas melunaskan impian terpendam.
Jujur, penulis terkejut, langsung tidak menyangka ruang gempita itu dipenuhi bukan sahaja seusia band terbabit malah berhimpit dengan deretan anak muda dan gen Z.
Mana tidaknya, aura dendangan menggamit memori Spider tidak lapuk dek zaman apabila membuat sekitar 2,400 penonton ‘khayal’ dibuai seleksi malar segar kumpulan itu sejak 1999 lagi.
Lebih tiga dekad melakar nama dalam arena muzik tanah air meletakkan mereka setara kugiran legenda yang matang menempuh sepak terajang dunia muzik tempatan jua Nusantara.
Tepat pukul 8.45 malam, kemunculan Tam atau nama lengkapnya Rustam Mustafah diiringi tunjang Spider lain disambut jeritan peminat yang sudah lama kehausan aksi secara langsung mereka.
Tam kekal santai dan tidak berlebihan, hanya menyarung dua persalinan sepanjang konsert iaitu kemeja-T dan jeans.
Konsert berdurasi dua jam itu cukup meriah dan sendat, namun tidak menghalang penonton berteriak seawal acara sekali gus menaikkan lagi energi konsert.
Umpama membawa khalayak ke terowong masa, penyanyi berusia 51 tahun itu bersinergi dengan rakan seperjuangan menyampaikan dendangan malar segar yang dipetik daripada hampir keenam-enam album studio mereka.
Antara repertoire persembahan adalah Ajaib, Rasakan Resapkan, Anti Graviti diikuti seleksi hitsnya yang pernah mencipta fenomena sendiri seperti Ngam Ho, Lengit dan Katalis.
Spider melantunkan lebih 20 dendangan termasuk hits yang pernah menjadi siulan, bahkan fenomena dalam arena muzik tanah air suatu ketika dahulu.
Momentum konsert dimantapkan dengan alunan muzik yang dibalut sensasi pop, rock dan ska menerusi Mungkinkah Terjadi, Laukku Cukup Masin, Telinga Ke Tulang, Mabuk, Cinta Dewa Dewi dan Kacap Terlabik.
Enggan memberi peluang penonton berehat walau sejenak, pemenang Anugerah Juara Lagu ke-19 (AJL19) itu berjaya membuat audiens kembali melompat menerusi dendangan Hingga Akhir Nanti, Buat Sang Puteri, Kekasihku dan Nazraku.
Justeru, nyanyian sepenuh hati kumpulan berbakat itu menjadi ‘sing along’ penonton yang sudah sebati melumati lirik dan melodi sekian banyak masa.
Tiada frasa yang dapat menggambarkan situasi malam bersejarah itu selain ‘epik’.
Hampir tiada cacat celanya, suara Tam jelas lantang seperti dulu-dulu meskipun tanpa perhiasan pentas ekstravaganza, semuanya mengalir sempurna.
Sungguh, lauk Spider memang cukup masin! Tak perlu siapa nak tambah garam!
Stamina, energi memuncak
Stamina Tam yang sudah meniti usia melebihi separuh abad itu selayaknya dipuji. Dia tidak sedikit pun menunjukkan kepenatan mahupun semput di atas pentas.
Begitu juga barisan ahli kumpulan yang terdiri daripada empat lelaki itu. Mereka gagah berjuang memainkan instrumen menyokong paduan suara supaya konsert tersebut kaya dengan bunyi yang mahal.
Hakikatnya, hanya usia menghitung angka, namun jiwa mereka sentiasa muda remaja.
Pun begitu, ketiadaan Nafie sebagai tunjang gitaris kerana masalah kesihatan juga sangat dirasai.
“Tony sudah tiada dan Nafie pula keadaan kesihatannya tidak mengizinkan untuk beraksi dan terpaksa berehat, saya tak rasa kosong cuma ralat tidak dapat bersama mereka meraikan ini.
“Walaupun mereka tiada, namun semangat tetap ada bersama,” kata Tam selepas konsert.
Spider tidak berundur tanpa lagu wajib karaoke iaitu Kasih Latifah dan Tapi Bagaimana sebagai seruan wajib, Spider berjaya merasuk ribuan penonton melompat seperti sedang ‘kecanduan’ untuk kembali menyaksikan persembahan sehebat itu pada lain masa.
Menutup persembahan dengan lagu yang dinantikan sejak awal konsert iaitu Relaku Pujuk, Aladdin dan Bila Nak Saksi, gelanggang muzik nostalgia itu kembali bergema.
Terlalu lama tanpa konsert tentu sahaja puluhan lagu itu tidak mampu memuaskan penantian lama peminat, lantas tidak hairan usai persembahan, peminat tidak berganjak seperti berat hati ingin meninggalkan gelanggang.
Mendengar setiap permintaan peminat, Spider menjanjikan perancangan konsert jelajah, namun belum ada perincian.
“Jika ada rezeki nak buat konsert ulang tahun atau lain-lain, mungkin daripada situ kita buat ‘tribute’ kepada mereka yang pernah bersama-sama Spider. Sekarang ini, kami tampilkan single terbaharu Keluar Sarang dalam bentuk cakera ‘vinyl’, namun amat terhad,” tutup Tam.