fbpx

Kemasyhuran tanpa pernah padam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
KHAIRI MOHAMAD,
PENOLONG PENGARANG BERITA

SABTU ini maka genaplah sebulan masyarakat bola sepak seluruh dunia kehilangan pemain paling agung, Diego Armando Maradona yang menemui ajal akibat serangan jantung di Buenos Aires bulan lalu.

Padamnya sebutir bintang itu nyata mengundang pilu para peminat.

Bagi peminat bola sepak Argentina, Maradona merupakan ‘anugerah tuhan’ kepada mereka begitu juga penduduk di Naples, Itali yang menyaksikan pemain itu berjaya menjulang kelab Napoli sebelum ini.

Walau apa pun kontroversi yang melanda, tidak ada yang mampu menafikan bahawa bakat yang dimiliki Maradona adalah suatu keajaiban biarpun Lionel Messi dikatakan jelmaan baharu yang mampu menandinginya.

Maradona beraksi dalam empat aksi Piala Dunia iaitu 1982, 1986, 1990 dan 1994 dengan membuat 91 penampilan dan menghasilkan 34 gol untuk Argentina.

Dalam keseluruhan penampilannya bersama Argentina, dia berjaya menikmati kemenangan melebihi 50 peratus daripada perlawanan yang disertainya.

Dia juga merupakan salah seorang daripada tiga pemain yang beraksi sebagai ketua pasukan dalam dua aksi final Piala Dunia iaitu pada 1986 dan 1990 selain Karl-Heinz Rummenigge (1982 dan 1986) dan Dunga (1994 dan 1998).

Piala Dunia 1986 adalah kemuncak prestasi Maradona apabila dia terlibat dalam menghasilkan 10 gol termasuk lima daripadanya adalah menerusi umpanan gol dalam tujuh perlawanan dan rekod tersebut masih kekal tanpa mampu dipecahkan oleh mana-mana pemain.

Maradona juga menempatkan dirinya dalam kelompok tiga pemain Argentina yang berjaya menjaringkan gol dalam tiga kempen Piala Dunia yang berbeza iaitu pada tahun 1982, 1986 dan 1994 bersama Gabriel Batistuta (1994, 1998 dan 2002) dan Messi (2006, 2014 dan 2018).

Sosok tubuhnya yang agak kecil menyebabkan Maradona sering menjadi mangsa terjahan keras pemain lawan dan sepanjang empat aksi Piala Dunia, dia berjaya mendapat 152 sepakan percuma dan ia adalah paling banyak dalam sejarah untuk seorang pemain.

Kemampuannya menggelecek pemain lawan juga menyaksikan Maradona muncul sebagai pemain paling banyak berjaya melepasi halangan pihak lawan dalam satu kejohanan apabila melakukannya sebanyak 53 kali ketika aksi di Mexico 1986 termasuk empat daripadanya ketika dia menjaringkan ‘Goal of The Century’ menentang England.

Maradona juga setakat ini adalah satu-satunya pemain yang mampu membawa bola paling jauh sebelum menjaringkan gol dengan jarak 51 meter (m) memadamkan rekod 47 m yang dilakukan oleh Jairzinho sebelum itu.

Rekod tersebut masih kekal biarpun Messi mencubanya tetapi hanya mampu mendapat jarak 46 m pada 2014, manakala Eden Hazard melakukannya pada 2018 dengan jarak 40 m.

Sama ada sisi hitam atau putih yang ada pada kehidupan Don Diego, tidak ada pihak yang mampu untuk menafikan bakat dan jasanya meletakkan penanda aras yang tinggi untuk sukan bola sepak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI