PENAMPANG – Seorang wanita ditemui lemas selepas dihanyutkan arus deras ketika menghantar makanan kepada penduduk yang terperangkap banjir di pekan Donggongon semalam.
Mayat Monica Ting Siew Kwong, 37, dijumpai pada pukul 8 pagi di celah pokok berhampiran rumah penduduk di Kampung Hungab kira-kira 500 meter dari lokasi wanita itu dihanyutkan arus deras.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, kes itu diklasifikasi sebagai mati mengejut.
Terdahulu, mangsa dan suaminya, Hii Ding Wei, 39, pergi menghantar makanan kepada penduduk yang terperangkap banjir di pekan Donggongon sebelum merancang untuk pulang.
Bagaimanapun, mangsa dihanyutkan arus deras ketika cuba melalui kawasan bah berhampiran Bulatan Sigah, Jalan Penampang Bypass.
Suami mangsa cuba membantu dengan menarik tangan isterinya tetapi arus deras menyebabkan wanita itu terlepas sebelum dihanyutkan arus. – KOSMO! ONLINE