SHAH ALAM – Hakim Mahkamah Sesyen, Rozilah Salleh menegur perbuatan seorang bekas Ahli Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) yang tidak mengisytiharkan kepentingannya dalam syarikat anak miliknya bagi penganjuran Ekspo Raya 2016 selepas didapati bersalah atas tujuh pertuduhan iaitu memberikan suapan bernilai RM16,000 dan menyalahgunakan kuasa, empat tahun lalu.
Rozilah menjatuhkan hukuman penjara setahun dan denda RM110,000 terhadap tertuduh, Mohamad Fauzi Ahmad, 50, selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.
Mahkamah turut memerintahkan bekas Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sungai Besar itu dipenjara 18 bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.
“Kenapa senyap sahaja tidak isytiharkan. Pemilihan kena telus dan ikut merit bukan secara back door (pintu belakang).
“Itu adalah kesalahan paling besar bagi saya. Kalau bukan kesalahan serius tidak perlu ada Mahkamah Khas untuk mengadili kes akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” jelas dalam penghakimannya.
Terdahulu dalam prosiding berlangsung hampir tiga jam itu, Rozilah menjatuhkan hukuman penjara selama empat tahun enam bulan bagi enam pertuduhan menerima suapan dan setahun bagi satu pertuduhan salah guna kuasa. Bagaimanapun, hukuman penjara yang perlu dijalani Mohamad Fauzi hanya setahun selepas mahkamah mengarahkan kesemuanya berjalan serentak.
Bagi lima pertuduhan rasuah, tertuduh yang mempunyai empat orang anak telah memberikan suapan bernilai RM700 hingga RM10,000 kepada tiga Ahli Majlis MDSB dan seorang lelaki individu lain berusia 47 hingga 68 tahun bagi mengundi Ligat Bina Enterprise sebagai penganjur Ekspo Raya 2016 dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kawalan Perniagaan dan Kesihatan MDSB yang diadakan pada 13 Mei 2016.
Manakala, satu pertuduhan menyalahguna kuasa jawatannya sebagai Ahli MDSB bagi mendapatkan suapan apabila mengambil bahagian dalam mesyuarat sama untuk memutuskan memilih syarikat sama bagi penganjuran sama.
Kesemua perbuatan itu dilakukan di MDSB, Pejabat PKR Cabang Sungai Besar, tiga buah bank di Sungai Besar, Rawang dan Setiawan serta sekitar Sekinchan bermula Mei hingga September 2016. -K! ONLINE