fbpx

Bola baling, renang sumbang dua emas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ZHENG YONG menceriakan kontinjen Malaysia apabila menyumbangkan satu daripada dua pingat emas yang diraih pada hari kelima saingan AUG 2024. - AUG/IPT

SURABAYA – Kontinjen negara terus menambah koleksi pingat pada hari kelima saingan Sukan Universiti Asean (AUG) 2024 yang sedang berlangsung di Surabaya-Malang, Indonesia.

Paling menggembirakan kem Malaysia adalah dua pingat emas yang berjaya dijelmakan hari ini, masing-masing satu pingat menerusi sukan bola baling dan renang.

Pingat emas renang hadir menerusi Low Zheng Yong dalam acara 1500 meter (m) gaya bebas lelaki selepas dia melakukan catatan masa 16:40.87 saat (s) menewaskan Truong Viet Vu dari Vietnam dengan perak manakala gangsa menjadi milik seorang lagi atlet Malaysia, Liew Zeng Wye.

Selain emas dan gangsa dalam acara 1500m gaya bebas lelaki, dua lagi gangsa turut disumbangkan Terence Ng yang menggalas cabaran menerusi 100m gaya bebas lelaki serta kuartet 4x100m rampaian wanita.

Keputusan hari ini menyaksikan Malaysia sudah mengumpul lapan pingat emas di Kolam Renang KONI Jawa Timur Universitas Airlangga, sekali gus melepasi sasaran awal tujuh pingat emas yang diletakkan.

Justeru, menjelang hari terakhir saingan bagi sukan renang esok, pasukan negara pastinya meletakkan sasaran untuk menambah koleksi pingat emas sebelum berangkat pulang ke tanah air.

Pada masa sama, skuad bola baling lelaki turut tampil cemerlang selepas menjadi pemenang pingat emas pertama untuk sukan yang mula diperkenalkan pada edisi kali ini selepas menewaskan Singapura 28-26 di Universitas Teknik 10 Nopember.

Sementara itu, sukan badminton yang berlangsung di Pusat Konvensyen Graha Cakrawala, Universitas Malang, pasukan negara berpeluang cerah untuk mara ke pentas final apabila tujuh wakil Malaysia bakal beraksi di separuh akhir esok.

Dalam acara perseorangan lelaki, Anson Cheong akan berdepan Pusri Nachakorn dari Thailand manakala Hooi Shao Herng bakal membuat perhitungan dengan seorang lagi pemain dari Thailand, Arree Puritat.

Perseorangan wanita, N. Saranya dan Ung Yi Xing masing-masing berdepan pemain Thailand, Pornpicha Choeikeewong serta wakil tuan rumah, Fatetani Aisyah Sativa manakala Wong Tien Ci-Liew Xun (beregu lelaki) menentang Mangkornloi Neuaduang-Promsarin Paramet, juga dari Thailand.

Valeree Siow-Lee Xin Jie pula akan berdepan Pattaraporn Rungruengpramon-Pichamon Phatcharaphisut dari Thailand dalam acara beregu wanita manakala beregu campuran, Wee Yee Hern-Ng Qi Xuan bertemu wakil tuan rumah, Hafidz Gerardo Rizqullah-Nadia Tryola. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI