SURABAYA – Hasrat Malaysia untuk membawa pulang pingat emas menerusi sukan futsal pada Sukan Universiti Asean (AUG) 2024 di Surabaya-Malang, Indonesia tidak kesampaian apabila sekadar muncul naib juara.
Pada perlawanan akhir yang berlangsung di Gelanggang Olahraga Universitas Negeri Surabaya (Unesa) sebentar tadi, pasukan negara terpaksa akur pulang dengan pingat perak selepas tewas 1-4 kepada tuan rumah.
Sebaik perlawanan dimulakan, Indonesia yang menerima sokongan padu ratusan penyokong sendiri menampilkan aksi cukup baik apabila menguasai hampir sepenuhnya permainan selain melakukan beberapa percubaan berbahaya.
Hari suram Malaysia bermula seawal minit ketiga menerusi jaringan Dewa Rizki Amanda bagi meletakkan Indonesia berada 1-0 di depan, sekali gus menyebabkan pasukan negara berada dalam tekanan untuk memburu gol penyamaan.
Ketika Malaysia sedang mengatur langkah untuk memburu gol pertama, Indonesia sekali lagi menyebabkan pemain-pemain negara tergamam apabila menjaringkan gol kedua perlawanan menerusi Brandyca Piola pada minit ke-11.
Kemudian, pasukan negara mendapat sedikit harapan untuk melakukan kebangkitan apabila pemain lawan, Daffa Azzurri diarah keluar padang pada minit ke-17 selepas menerima layangan kad merah kerana mengasari Muhammad Bukhari Samsudin.
Bagaimanapun, ketika Malaysia sedang ghairah memburu jaringan, Indonesia memanfaatkan sepenuhnya kelekaan pemain-pemain negara apabila melakukan serangan balas pantas dan berjaya menjaringkan gol ketiga, sekali lagi menerusi Rizki.
Memasuki separuh masa kedua, Malaysia menerapkan corak permainan power play bagi mengambil kesempatan atas ketiadaan seorang pemain tuan rumah, namun beberapa peluang keemasan dinafikan kecekapan penjaga gol Indonesia, Muhammad Albagir.
Serangan demi serangan yang dilakukan pasukan negara bagaimanapun tidak membuahkan hasil apabila Indonesia menambah derita Malaysia dengan gol keempat hasil jaringan Ramadhan Zidani pada minit ke-34.
Ketika perlawanan berbaki dua minit, Malaysia memperoleh gol yang dinanti-nantikan apabila berjaya menjaringkan gol saguhati hasil jaringan Muhammad Syarifuddin Md. Akhir.
Sementara itu, dalam aksi penentuan pingat gangsa yang berlangsung lebih awal, Thailand memastikan kemenangan menjadi milik mereka selepas membenam cabaran Timor Leste dengan jaringan besar 7-1. – KOSMO! ONLINE