PENGENDALI Malaysian University, Ridzuan Abu Shah akui sedikit terkilan setelah gol tunggal permainan yang dijaringkan anak buahnya dibatalkan setelah pemeriksaan video bantuan gol (VAR) ketika tewas 0-5 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi suku akhir pertama Piala FA, malam kelmarin.
Pengendali pasukan Liga A1 semi pro itu berkata, dia sememangnya menjangkakan akan tewas di tangan penyandang juara itu namun percaya barisan pemain yang terdiri dalam kalangan pelajar itu melakukan tugas dengan baik bagi mengelak daripada dibelasah lebih teruk.
Katanya, aksi 90 minit menentang salah satu kelab besar di rantau Asia itu memberi pengajaran berguna buat pemain untuk beraksi dengan lebih matang dalam perlawanan yang akan datang.
“Kami datang ke sini adalah bermain untuk elakkan daripada dibolosi dengan jaringan yang banyak, itu sahaja sasaran kami. Bila sudah melangkah ke peringkat suku akhir, kami terpaksa berdepan dengan cabaran yang mendatang.
“Walaupun tewas, kami berharap juga sekurangnya dapat menjaringkan satu gol namun tidak bernasib baik setelah ia dinafikan oleh VAR. Saya tak pasti sama ada pemain berada di posisi ofsaid atau berlakunya kekasaran (terhadap Corbin Ong), kami fikir jaringan itu sudah dikira, tapi nasib tak menyebelahi kami,” katanya.
Pada perlawanan itu, pemain gantian Chico Geraldes meledak dua gol pada babak pertama, manakala Corbin Ong, Shahrul Saad dan Romel Morales masing-masing menjaringkan satu gol ketika membantu JDT menang selesa 5-0 pada aksi suku akhir pertama Piala FA.
Ridzuan berkata, hilang konsentrasi dalam kalangan pemain ketika perlawanan bersambung pada babak kedua menjadi punca gawang Malaysian University dibolosi empat gol setelah hanya membenarkan gawang dibolosi satu gol sahaja pada babak pertama. – KOSMO! ONLINE