SHAH ALAM – Sinonim dengan kejutan, penyanyi Aina Abdul tiada masalah dengan jolokan ‘ratu gimik’ atau sebarang gelaran susulan sering tampil dengan busana pelik dan ekstravaganza dalam setiap persembahan.
Aina atau nama penuhnya, Nurul Aina Abdul Ghani, 31, berkata, diberikan gelaran bukan perkara dikejarnya sebaliknya dia lebih teruja melihat sambutan dan penerimaan ramai terhadap penampilannya.
“Saya tak kisah digelar ratu apa pun. Saya gembira dan syukur sebab peminat masih ternanti-nantikan penampilan saya dalam setiap acara.
“Itu yang saya paling nantikan. Sebab itu setiap kali ada persembahan penting, saya akan cuba terbaik untuk muncul dengan konsep baharu dan penampilan yang memberi keterujaan,” katanya kepada HibGlam selepas konsert Destiny Of Music di Dewan Agung Tuanku Canselor, UiTM Shah Alam, di sini, semalam.
Mengulas mengenai penampilannya semalam yang menyarung dres putih dengan taburan manik dan mempunyai bentuk hati separuh, dia berkata busana tersebut adalah berkonsepkan putus cinta atau patah hati.
“Ini adalah idea pereka fesyen, Melina Looi. Kami tak rancang pun nak bawa gimik apa untuk persembahan kali ini.
“Hasil perbincangan bersama, rekaan ini paling mempamerkan diri saya ditambah pula lagu-lagu yang didendangkan pada konsert ini semuanya tentang putus cinta.
“Jadi, saya ini ibaratnya hati yang patah tetapi tetap mahu beri pengalaman yang menyeronokkan untuk peminat generasi muda,” ujarnya yang menafikan dirinya sedang putus cinta seperti konsep baju tersebut.
Dalam masa sama, pelantun lagu Terus Hidup teruja membuat persembahan di UiTM dengan konsep sebegitu.
“Ini merupakan persembahan kedua saya di UiTM. Kali pertama dahulu, persembahan saya biasa sahaja.
“Jadi, kali ini saya mahu tinggalkan memori kepada generasi muda. Saya nak datang sebagai Aina Abdul dan mahu mereka ingat konsert ini selama-lamanya,” katanya lagi.
Selain Aina, konsert anjuran Be De Paris Beauty Project itu turut membariskan penyanyi hebat lain seperti Ernie Zakri, Kugiran Masdo, Haziq Rosebi dan Daniel Chuer.
Acara yang berlangsung selama lebih tiga jam itu dihadiri lebih 3,200 penonton termasuk para penuntu UiTM. – KOSMO! ONLINE