DORTMUND – Badi dengan pasukan tuan rumah terus menghantui Denmark yang sah tersingkir daripada Euro 2024 selepas tewas 0-2 kepada Jerman pada aksi 16 terbaik di Signal Iduna Park, sebentar tadi.
Denmark tewas dalam semua lima perlawanan menentang pasukan tuan rumah termasuk kekalahan kepada Jerman Barat pada saingan peringkat kumpulan Euro 1988 dan dikecewakan England di pentas separuh akhir di Stadium Wembley pada edisi empat tahun lalu.
Dalam tempoh 20 minit pertama, Denmark kelihatan bergelut untuk mencipta serangan dan Jerman jelas lebih selesa apabila empat daripada enam percubaan yang dilakukan adalah tepat ke arah gawang.
Sebaik aksi memasuki minit ke-35, hujan lebat dan petir memaksa pengadil perlawanan, Michael Oliver ambil keputusan menghentikan perlawanan selama kira-kira 25 minit sebelum aksi disambung semula.
Pertahanan Denmark, Joachim Andersen yang dikecewakan dengan pembatalan jaringannya terus dihimpit malang apabila bola dikesan mengenai tangannya dalam kotak penalti dan kesempatan pada minit ke-53 itu berjaya dimanfaatkan oleh Kai Havertz untuk meletakkan Jerman di depan.
Selang enam minit selepas itu, Jerman sepatutnya makin selesa selepas Havertz dihidangkan situasi satu lawan satu dengan penjaga gol lawan, Kasper Schmeichel namun kali ini dikecewakan oleh sentuhan akhir apabila tolakkannya serong ke arah kiri gawang Denmark.
Walaupun kekal dengan sikap melawan, minit ke-68 keadaan Denmark dilihat makin sukar selepas bolos buat kali kedua dan kali ini giliran Jamal Musiala melakar nama selaku penjaring.
Di peringkat suku akhir nanti, Jerman bakal berdepan pemenang aksi membabitkan Sepanyol dan Georgia. – KOSMO! ONLINE