BANGKOK – Polis mengesahkan seorang timbalan guru besar yang hilang ditemui mati di dalam keretanya di bawah sebuah jejambat Chiang Mai selepas kerja-kerja mencarinya dilakukan selama 13 hari, lapor portal berita Thaiger hari ini.
Lelaki yang dikenali sebagai Ruchakorn Jaisanti, 43, itu telah hilang sejak 16 Jun lalu.
Ruchakorn juga dikenali sebagai Bank berkhidmat sebagai timbalan guru besar di Sekolah San Pa Yang Nom dan pemangku guru besar di Tadika Wat Chammathewi, Lamphun.
Dia hilang bersama kereta miliknya membuatkan keluarganya berasa sangat bimbang tentang keselamatan dirinya.
Berikutan usaha polis dan mengumpul bukti lain di jalan raya yang dipercayai dilalui Ruchakorn, mayat guru besar itu kemudian ditemui di dalam keretanya di bawah jejambat Ban Chiang Khang, Chiang Mai.
Siasatan lanjut tentang punca kematiannya sedang dilakukan oleh polis.
Ruchakorn dilantik sebagai pemangku pengarah sekolah buat sementara waktu kerana ketiadaan pengarah tetap.
Dia telah meluluskan pembayaran lebih 100,000 baht (RM12,848) kepada pegawai kewangan sekolah itu yang kemudiannya melarikan diri dengan wang itu.
Pihak perbandaran telah pun memfailkan aduan undang-undang terhadap pegawai kewangan tersebut.
Bapa guru besar itu percaya kejadian itu mungkin telah menyebabkan tekanan yang ketara kepada anaknya yang membawa kepada kehilangannya secara mengejut. – AGENSI