PETALING JAYA – Penyanyi dan aktivis kemanusiaan, Caprice menyifatkan kehadiran anak lelakinya, Airiel Qashaf membuka lebih banyak pintu rezeki buat keluarganya.
Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli berkata, perkara tersebut mula disedarinya selepas kelahiran Ariel sekitar Mac lalu.
“Tengah kecoh dalam media sosial tentang trend nak kahwin tapi tak mahu anak. Sejujurnya, anak membawa rezeki. Sebelum da anak, saya selalu dengar benda ini.
“Selepas ada anak, barulah kita faham maksudnya. Benar, rezeki hadir dalam pelbagai bentuk, bukan hanya duit,” katanya dalam Instagram.
Dalam pada itu, kelahiran Airiel juga banyak membantunya dalam menangani masalah tidur dan memberi ketenangan dalam hidup.
“Kehidupan saya sebelum ini sangat sibuk, tiada masa hendak relaks atau bertenang.
“Dulu, tidur pun bergantung dengan ubat tidur. Sejak ada anak, saya temui keseimbangan itu.
“Dia adalah ‘check and balance’, ubat tidur dan pengisi tempoh rehat saya,” ujarnya.
Kongsinya lagi, dia juga dapat melupakan masalah apabila pulang ke rumah dan meluangkan waktu bersama Airiel.
“Alhamdulillah, pulang dari kerja, terus cari Airiel.
“Tak kisah betapa stress, banyak bil, gaji dan sibuk kehidupan ini, apabila dapat saja bau si kecil ini, semua perkara alam dunia ini hilang.
“Saya hanya fikir untuk luangkan masa bersamanya,” katanya lagi.
Untuk rekod, Caprice dan isteri, Farra Inalis mendirikan rumah tangga pada November 2022 dan dikurniakan seorang cahaya mata, Airiel yang dilahirkan pada Mac lalu.
Farra sebelum ini mempunyai seorang cahaya mata, Aleesya Sofea hasil perkahwinan terdahulu. – KOSMO! ONLINE