COLOGNE – Pengendali Georgia, Willy Sagnol mencabar pemainnya untuk mencipta satu lagi kejutan pada aksi 16 pasukan terbaik Euro 2024 bertemu satu lagi gergasi Eropah, Sepanyol tengah malam ini.
Melabel La Roja sebagai pasukan terbaik sepanjang pusingan awal iaitu semasa peringkat kumpulan, Sagnol hanya mahu pemainnya kekal dengan mentaliti ‘pahlawan’ dan tidak terlalu merendah diri untuk menentang lawan lebih baik.
“Sepanyol boleh dikatakan sebagai pasukan terbaik sepanjang pusingan pertama. Oleh itu, ia pasti akan menghadirkan satu lagi cabaran buat kami.
“Sudah pasti kami akan terus berikan saingan sehingga minit terakhir seperti yang kami pernah lakukan sejak daripada awal pertandingan sebelum ini,” katanya.
Secara teknikalnya, pemain seperti Khvicha Kvaratskhelia dan penjaga gol, Giorgi Mamardashvili mampu mengetuai rakan sepasukan lain untuk memacu Georgia layak ke pusingan kalah mati.
Sagnol juga menjelaskan, agak sukar untuk membandingkan kualiti, namun paling mengujakannya apabila melihat kesungguhan yang ada pada setiap anak buahnya.
“Apabila kamu melihat kepada senarai pemain, daripada segi kualiti ia mungkin tidak begitu mengujakan namun saya gembira dalam aspek kemanusiaan.
“Sebelum ini saya fikir pusingan kelayakan adalah tahap maksimum namun sejarah bola sepak tidak pernah ditulis lebih awal. Sebelum ini kami tidak pernah fikir yang kami akan menang dan hanya sekadar turun bermain saja,” jelasnya. – AGENSI