MUNICH – Slovakia memasang impian untuk melakar kejutan menyingkirkan calon pilihan juara, England menjelang aksi pusingan 16 pasukan terbaik Euro 2024 di Veltin Arena, Gelsenkirchen awal pagi esok.
Prestasi yang kurang menyakinkan dipamer England pada aksi peringkat kumpulan apabila sekadar meraih satu kemenangan dan dua seri serta hanya mampu meledak dua gol menyebabkan Slovakia percaya mereka memiliki peluang untuk menghadirkan sesuatu yang istimewa.
Bekas pemain Slovakia yang juga pengulas bola sepak, Ladislav Borbely percaya pasukan itu mampu menyerap semangat yang dipamerkan Georgia ketika menundukkan Portugal pada aksi terakhir Kumpulan F sebelum ini.
“Saya sangat sukakan England. Saya melihat mereka beraksi dan setakat ini saya tidak mampu untuk melihat apa yang sebenarnya ingin dipamerkan oleh mereka selepas tiga perlawanan peringkat kumpulan.
“England adalah lawan yang cukup kuat, tetapi mereka tidak berada dalam keadaan terbaik ketika ini. Mereka dipenuhi oleh pemain bintang, namun gagal mengeluarkan potensi dan kemampuan sebenar setakat ini.
“Para pemain mereka memiliki kualiti individu yang baik, tetapi tidak ada sinergi di antara pemain. Berdasarkan prestasi semasa England ketika ini, saya fikir Slovakia memiliki peluang untuk melakukan kejutan,” katanya.
Aksi peringkat kumpulan menyaksikan Slovakia berjaya mengumpulkan empat mata untuk layak sebagai pasukan tempat ketiga terbaik ke pusingan kalah mati kali ini.
Mereka membuka tirai saingan dengan melakar kejutan menumpaskan Belgium 1-0 sebelum tewas 1-2 kepada Ukraine dan meraih satu mata pada aksi terakhir apabila terikat 1-1 menentang Romania.
Sementara itu,Ketua Jurulatih Slovakia, Francesco Calzona lebih selesa untuk merendah diri apabila mengakui England adalah pasukan pilihan berbanding Slovakia berdasarkan pakej kualiti para pemain dimiliki.
“Kami akan menentang pasukan pilihan dan mereka calon juara kali ini. Kami menghormati mereka dan sedar mengenai kekuatan dan kualiti individu dimiliki England,” ujarnya. – AGENSI