PETALING JAYA – Mana-mana umat Islam yang meyakini pendapatan atau gaji bulanan yang diperoleh boleh menjamin masa hadapan hukumnya adalah syirik.
Penceramah selebriti, Ustaz Azhar Idrus berkata, orang Islam adalah umat tauhid yang percaya tiada Tuhan selain Allah dan tiada siapa dapat menjamin masa depan kecuali Allah.
“Siapa yang rasa makan gaji boleh menjamin kehidupan masa hadapan, dia telah menduakan Tuhan, itu syirik.
“Kerja kerajaan atau swasta tidak salah, yang salah adalah pegangan kita. Itu kena betulkan semula sebab jamin masa depan itu sifat uluhiyah, kita sandarkan pada duit itu,” katanya menerusi ceramah di saluran YouTube baru-baru ini.
Menurut Ustaz Azhar, sekiranya ada individu berpandangan kehidupan masa depan jirannya terjamin disebabkan anak-anak memiliki kerjaya, maka mereka yang berpegang pada kata-kata itu adalah salah dan boleh dianggap syirik.
“Kalau kita berpegang dan yakin apa yang orang cakap itu adalah kufur, kenapa jadi macam tu, sebab kita tidak belajar. Masa orang belajar kita tak datang.
“Kalau tak faham akidah dan pegangan itu yang menjadikan kita kufur kepada nikmat yang diberikan selama ini,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE