fbpx

Anwar nekad sambung legasi Karpal Singh, pejuang hak rakyat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar hadir pada Majlis Memperingati Karpal di Komtar, hari ini. Foto oleh NOOR HASLIZA NUSI/ KOSMO!

GEORGE TOWN – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim nekad menyambung legasi perjuangan tokoh politik, mendiang Datuk Seri Karpal Singh dalam mempertahankan keadilan dan hak rakyat di negara ini.

Beliau dalam ucapannya berkata, prinsip yang ditekankan ‘Harimau Jelutong’ itu seharusnya diteruskan dalam memastikan negara berdemokrasi dan memperjuangkan hak setiap rakyat tanpa mengira latar belakang.

“Kewajipan kita untuk memperjuangkan keadilan dan menyelamat Malaysia. Insya-Allah…kita akan terus lakukan.

“Tentangan kita adalah terhadap mereka yang rasis serta pentaksub agama secara salah. Kita juga mahu komited memastikan kita mahu menghentikan budaya rasuah.

“Bila saya menjadi Perdana Menteri, sangkaan saya usaha itu adalah mudah. Tapi, kita hakikatnya menyedari bahawa individu yang kita tentang itu mempunyai kuasa, sumber yang banyak dan pengaruhnya,” katanya ketika berucap pada Majlis Memperingati Karpal di The Top, Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, prinsip kepimpinan yang dibawa Kerajaan Perpaduan diyakini turut diterima baik dan akan menggembirakan mendiang Karpal sekiranya beliau masih hidup.

“Tapi, saya yakin beliau (Karpal) akan menjadi individu yang paling lantang bersuara sekiranya terdapat sebarang masalah dalam usaha yang kita lakukan.

“Ini bermaksud dedikasinya, prinsipnya dan legasinya harus diteruskan. Beliau ialah individu yang mempunyai watak yang luar biasa,” ujarnya.

Karpal, 74, maut dalam kemalangan di Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Gua Tempurung, Gopeng pada Mac 2014 yang turut meragut nyawa pembantumya, Michael Cornelius, 39.

Mendiang yang berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Jelutong dari 1978 hingga 1990 dan Bukit Gelugor dari 2004 hingga 2014, merupakan Pengerusi Kebangsaan DAP yang ketiga menjawat jawatan tersebut sejak 2004 sehingga meninggal dunia. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI