fbpx

Tinggalkan 100kg syabu dalam bot

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kamaruszaman (tengah) menunjukkan sebahagian dari 100kg dadah bernilai RM5.1 juta yang berjaya dirampas pada sidang akhbar di Ibu Pejabat APMM, Johor Bahru di sini hari ini. - Foto RAJA JAAFAR ALI

JOHOR BAHRU – Maritim Malaysia (APMM) Johor berjaya mematahkan cubaan menyeludup keluar dadah jenis syabu seberat 100 kilogram (kg) bernilai RM5.1 juta di perairan Pelabuhan Tanjung Pelepas, Gelang Patah dekat sini malam semalam.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) APMM, Laksamana Muda Maritim Kamaruszaman Abu Hassan berkata, rampasan tersebut merupakan rampasan terbesar melibatkan dadah oleh Maritim Malaysia Johor.

Katanya, rampasan berkenaan dilakukan pihaknya menerusi Ops Jaksa pada pukul 9.45 malam.

“Pada lebih kurang pukul 9.30 malam semalam, bot peronda Maritim Malaysia telah mengesan sebuah bot fiber dipandu seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan sedang bergerak keluar dari muara Sungai Boh ke perairan Tanjung Piai.

“Selepas menyedari kehadiran bot peronda, suspek memadamkan lampu bot sebelum memecut ke kawasan paya bakau berhampiran dan meninggalkan bot tersebut untuk melarikan diri,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar yang diadakan di Ibu Pejabat Maritim Malaysia Johor, di Menara Tabung Haji, di sini hari ini. Turut hadir, Pengarah Maritim Malaysia Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria.

Tambah beliau, siasatan dibuat terhadap bot berkenaan kemudian menemui empat beg dan sebuah kotak berisi 98 paket bungkusan teh Cina mengandungi serbuk kristal, dipercayai dadah jenis syabu.

“Setiap bungkusan teh Cina itu dianggarkan seberat 1 kilogram, dengan nilai rampasan dadah sebanyak RM5.1 juta. Turut dirampas bot berkenaan yang dianggarkan bernilai RM12,000.

“Ini merupakan rampasan dadah kali keenam dibuat Maritim Malaysia Johor dan yang terbesar direkodkan tahun ini, dengan nilai rampasan dadah keseluruhan RM8.18 juta,” ujarnya.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI