MELAKA – Sebanyak 10 buah kenderaan terkandas di Lebuh Ayer Keroh dekat sini akibat banjir kilat yang melanda susulan hujan lebat berterusan lebih tiga jam sejak pukul empat petang tadi.
Bagaimanapun kesemua pemandu dan penumpang berjaya menyelamatkan diri, manakala kenderaan telah dialihkan ke tempat selamat dengan bantuan pasukan bomba.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Keroh, Pegawai Bomba Kanan II (KUP), Mohd. Saad Md. Kassim berkata, panggilan kecemasan diterima pada pukul 4.50 petang.
“Seramai tujuh anggota telah dikejarkan ke lokasi dan kita dapati sebanyak 10 kenderaan telah terperangkap di dalam banjir kilat.
“Kesemua kenderaan telah dialihkan ke tempat selamat dan operasi tamat pukul 5.28 petang,” katanya kepada pemberita hari ini.
Dalam pada itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) Melaka turut berkongsi maklumat di laman sosial Facebook mengenai laluan lain yang terjejas termasuklah Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput-Ayer Keroh (SPA) berhampiran Jalan Autocity dan Jalan Gangsa serta Jalan Krubong menghala ke Pantai Belimbing.
Turut terjejas adalah kawasan sekitar Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC).
Dalam pada itu, Melaka River Cruise (MRC) turut menghentikan sementara perkhidmatan disediakan berikutan peningkatan paras air Sungai Melaka dan arus yang deras.
“Berikutan cuaca yang tidak menentu dan hujan lebat menyebabkan paras air Sungai Melaka tinggi serta arus deras, operasi MRC dihentikan sementara sehingga keadaan kembali pulih,” katanya. -KOSMO! ONLINE.