PENGGUNA media sosial, Instagram pastinya pernah melihat susun atur kediaman yang memukau hasil sentuhan sepasang suami isteri yang cukup sukakan hiasan dalaman.
Pasangan Rina Rahamat, 44, bersama suami, Mohd. Subha Salleh, 44, selesa menggabungkan rona putih dan warna kayu pada setiap ruang, sekali gus menjadikan kediaman cukup mempesonakan.
Tidak keterlaluan jika dikatakan, gabungan tiga elemen berbeza pada kediaman milik ibu kepada tiga orang cahaya mata itu, tampak elegan dan persis sebuah kediaman di negara-negara Eropah.
Kongsi Rina, kediaman itu menggabungkan tiga konsep tatarias iaitu moden, organik dan tradisional.
“Walaupun gaya moden dan tradisional ini agak kontra, tapi saya berpendapat, jika pandai suai padan perabot dengan hiasan dalaman lain, ruangan akan kelihatan lebih ‘hidup’.
“Bagi saya, apa yang penting adalah keseimbangan, dengan setiap gaya pilihan itu ditonjolkan secara sederhana dan tidak keterlaluan,” ujarnya.
Gaya moden yang ringkas boleh dilihat pada pemilihan sofa, meja kopi dan ‘accent chair’ di ruang tamu kediaman.
Manakala untuk ruang makan pula, Rina memilih meja dan kerusi makan berkonsepkan tradisional.
Hasilnya, kediaman itu tampak hangat dan cukup selesa dihuni oleh keluarga kecilnya.
Antara ruang lain yang cukup memikat pada kediaman itu adalah backyard yang bertemakan santai.
Kongsi Rina, ruang itu juga menjadi tempat untuk anak-anaknya bermain, tatkala dia dan suaminya menerima kunjungan tetamu di rumah.
“Kadangkala, kami sekeluarga turut menggunakan ruang ini untuk bersantai sambil menjamu selera,” katanya.
Menjengah ke ruang makan keluarga, Rina berkata, dia memilih meja dan kerusi makan berkonsepkan tradisional.
Malah, bekas guru itu menggunakan hamparan yang berinspirasikan corak vintaj serta menjadikan bangku tinggi gaya sama sebagai meja sisi.
Putih dipilih sebagai warna utama pada semua dinding dalam kediaman seluas 237 meter persegi itu.
Bagi menyuntik elemen segar pada kediamannya, Rina memilih perhiasan berwarna coklat kayu, putih, hijau, biru dan sedikit percikan rona hitam sebagai penegasan.
“Saya juga sangat sukakan warna hijau bumi (earthy green) untuk digunakan sebagai ‘accent color’.
“Maka, saya memilih hijau untuk ‘island’ di bahagian dapur yang didominasi kabinet berwarna putih.
“Saya mengulangi warna hijau yang sama pada ruangan basuhan baju di tingkat atas supaya ada kesinambungan antara ruang,” ujarnya.
Bagi dapur kediaman itu, susun atur yang cukup kemas dan bersih menjadikan ruang berkenaan nampak mewah serta tidak sarat.
Ujar Rina, kediamannya tidak mempunyai konsep dapur kering dan basah seperti kebanyakan rumah lain.
Hal ini kerana, Rina membahagikan ruang dapurnya yang bersambung dengan bahagian indoor backyard yang dijadikan sebuah pantri.
“Saya suka dapur yang sentiasa kemas dan tersusun.
“Dengan adanya pantri ini, ruangan dapur memasak saya lebih terbuka dan sentiasa kemas dan bersih,” katanya.
Bercerita tentang inspirasi hiasan dalamannya pula, wanita itu berkata, dia banyak merujuk kepada Pinterest dan Instagram dekorasi.
“Saya amat menyukai apa-apa hiasan yang cantik.
“Saya sentiasa mempunyai perancangan dalam minda tentang konsep dan perabot rekaan yang mahu digunakan pada sesuatu ruang,” katanya.