BERLIN – Penyerang Jerman, Niclas Fullkrug terpaksa mengakui Denmark yang bakal dihadapi mereka pada pusingan 16 terbaik Euro 2024 di Signal Iduna Park awal pagi esok adalah pasukan sukar untuk dikalahkan.
Bintang Borussia Dortmund itu menjelaskan tiada istilah tugas mudah buat Jerman kerana Denmark juga cukup dikenali dengan sikap melawan.
“Saya fikir Denmark adalah pasukan paling teratur yang kami hadapi. Mereka adalah pasukan yang yakin, memiliki struktur kemas termasuklah ketika situasi tanpa bola,” katanya.
Menjelang aksi kali ini, kelebihan dimiliki Jerman pastinya menjurus kepada kualiti yang ada pada setiap pemain dan skuad Die Mannschaft tidak boleh terlalu bergantung kepada kesebelasan utama sahaja.
Pengendali pasukan, Julian Nagelsmann turut mengakui pemain simpanan juga mempunyai ‘kunci kejayaan’ seperti yang pernah ditunjukkan oleh Fullkrug pada perlawanan lalu.
“Paling penting adalah kami tidak memilih pemain bernama besar daripada kelab-kelab besar, sebaliknya pemain yang terpilih adalah sesuai untuk digandingkan bersama.
“Fulle (Fullkrug) sudah memberi contoh terbaik apabila dia melakukan tugasnya dengan baik selaku ‘super sub’,” jelas Nagelsmann.
Rekod pertemuan kedua-dua pasukan dilihat seimbang dengan Jerman berjaya mencatat tiga kemenangan, tiga seri dan dua kekalahan sepanjang pertembungan menentang Denmark. – AGENSI