JOHOR Darul Ta’zim (JDT) nekad untuk mengajar Malaysia University FC (MUFC) erti bola sepak sebenar apabila kedua-duanya turun membuat perhitungan pad aksi suku akhir Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri petang ini.
Walaupun hanya menentang ‘budak universiti’, namun pengendali Harimau Selatan, Hector Bidoglio tetap mengambil serius kerana JDT sentiasa memberikan prestasi terbaik terhadap apa juga pertandingan disertai mereka.
“Ini adalah perlawanan penting dan kita kena berikan fokus, ambil serius kerana kami adalah pasukan profesional. Di JDT semua piala adalah penting dan kami kena tunjukkan potensi yang kami ada.
“Kami kena terus berlatih dan turunkan pemain terbaik. Mungkin mereka (Malaysian University) adalah pasukan yang dibarisi pemain muda dan pelajar tetapi sebelum ini mereka menang 3-0 dan itu menunjukkan mereka adalah pasukan yang bagus,” katanya
Untuk rekod, kedua-dua aksi timbal balik kali ini akan dilangsungkan di Stadium Sultan Ibrahim.
Atas kertas, Harimau Selatan adalah pasukan pilihan yang boeh menjamin slot separuh akhir untuk bertemu pemenang aksi antara Penang FC dan Kedah Darul Aman FC (KDA FC).
JDT mengharungi aksi awal Liga Malaysia (Liga M) musim ini dengan rekod luar biasa apabila masih belum tewas dalam saingan Liga Super selain turut mengatasi Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) 4-0 di pusingan 16 terbaik Piala FA sebelum ini.