KEPUTUSAN Liga Bolasepak Malaysia (MFL) membatalkan beberapa hukuman ‘berat’ yang dikenakan ke atas Selangor FC susulan penarikan diri pada aksi Piala Sumbangsih, bulan lepas menghadirkan pendirian bercampur baur dikalangan peminat.
Daripada aspek kesukanan, tindakan MFL yang membatalkan arangan kemasukan penonton ke perlawanan Liga Super (LS14) antara Selangor FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT)di Stadium MBPJ dan tidak mengenakan pemotongan tiga mata disambut baik oleh penyokong.
Presiden Kelab Penyokong Anak Selangor (ASFC), Faizal Wahid tetap merasakan di peringkat awal isu ini mampu dielakkan jika permohonan Selangor FC untuk menangguhkan aksi Piala Sumbangsih dibenarkan.
“Secara ‘gentlemen’ kita sokong (kebenaran penyokong ke stadium dan pembatalan pemotongan tiga mata) tetapi soal pampasan masih lagi jadi satu hal.
“Hukuman tidak masuk akal, belum buat ada pengurangan. Ini sejarah buruk dalam bola sepak negara dan kalau tidak dititikberatkan ia boleh jadi barah.
“Ada penyokong yang tidak puas hati berkenaan hukuman berkaitan pampasan,” katanya.
MFL menerusi kenyataan semalam menjelaskan Ahli Lembaga Pengarah MFL telah menggunakan budi bicara untuk mempertimbangkan semula keputusan awal yang dibuat pada Selasa lepas.
Pertimbangan semula ini dibuat sebagai menjunjung kasih dan menghormati titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Dalam masa sama, Faizal juga merasakan isu ini turur beri tempias kepada aspek komersial pertandingan.
“Penyokong di zaman milenium, dia lebih terbuka. Keputusan yang dibuat seakan tergesa-gesa.
“Sepatutnya sebarang keputusan yang mahu dibuat harus ambil kira pelbagai aspek. Kalau ini yang berlaku, ia pasti turut beri kesan kepada persepsi termasuklah imej MFL dan pertandingan,” katanya. – KOSMO! ONLINE