fbpx

JPJ Terengganu saman 994 warga asing guna kenderaan tanpa lesen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Zamri (kanan) memeriksa sebahagian daripada 88 kenderaan warga asing yang disita dalam Ops Pewa di JPJ Kemaman hari ini.

KEMAMAN – Isu warga asing memandu kenderaan tanpa lesen di jalan raya semakin menjadi-jadi sehingga  Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu mengeluarkan 994 saman trafik atas pelbagai kesalahan terhadap golongan itu sejak awal tahun ini.

Pengarah JPJ Terengganu, Mohd. Zamri Samion berkata, jumlah saman terhadap warga asing yang dikeluarkan dalam tempoh hanya kurang enam bulan pertama tahun ini berkenaan, ia lebih tinggi 34.5 peratus berbanding keseluruhan saman dikeluarkan atas kesalahan sama sepanjang tahun lalu.

“Setakat ini, sebanyak 994 saman dikeluarkan selain 235 kenderaan disita di seluruh Terengganu walaupun baru melakukan 10 kali Operasi Penguatkuasaan Pemandu Warga Asing (Pewa).

“Sebagai perbandingan, hanya 739 saman trafik dikeluar dan 241 kenderaan pula disita menerusi 21 Ops Pewa dilakukan sepanjang tahun lalu,” katanya ketika ditemui selepas mengetuai operasi berkenaan di pejabat JPJ Kemaman di sini hari ini.

Dalam Ops Pewa selama dua hari bermula kelmarin berkenaan, seramai 88 warga asing termasuk 71 etnik Rohingya ditahan manakala 88 pelbagai kenderaan seperti lori, van dan motosikal disita.

Mohd. Zamri berkata, kebanyakan warga asing yang ditahan dalam Ops Pewa tersebut sejak awal tahun ini terdiri daripada etnik Rohingya selain Bangladesh, Pakistan dan Indonesia.

Tambah beliau, rata-rata kenderaan digunakan didapati tiada cukai jalan dan insurans selain warga asing terbabit juga tidak memiliki lesen memandu yang sah.

“Isu warga asing menggunakan kenderaan tanpa lesen di negeri ini semakin kritikal dan mereka dilihat semakin berani sehingga membahayakan keselamatan pengguna jalan raya lain.

“Biarpun kita konsisten melakukan operasi penguatkuasaan di lokasi-lokasi strategik, kes (warga asing menggunakan kenderaan tanpa lesen) tetap tinggi,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI