SHAH ALAM- Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima bayaran zakat perniagaan berjumlah RM9.8 juta daripada lima buah syarikat korporat kepada pihak Lembaga Zakat Selangor (LZS) di Istana Bukit Kayangan di sini, hari ini.
LZS dalam kenyataan akhbar memaklumkan, majlis penyerahan zakat itu didahului Gas Malaysia Berhad (Gas Malaysia) yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Ahmad Hashimi Abdul Manap dengan jumlah zakat perniagaan bagi tahun kewangan 2020 sebanyak RM3.5 juta.
Ia disusuli SIRIM Berhad (SIRIM) yang diwakili pengerusinya, Tan Sri Dr. Ahmad Tajuddin Ali dengan menyampaikan zakat perniagaan berjumlah RM2.28 juta.
“Jakel Trading Sdn. Bhd. (Jakel) diwakili Pengarah Urusan, Datuk Mohamed Faroz Mohamed Jakel menunaikan zakat berjumlah RM1.25 juta, diikuti QSR Brands (M) Holdings Berhad (QSR Brands) diwakili Ketua Pegawai Kewangan, Razak Nordin menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM1.7 juta dan Persatuan Nelayaan Kebangsaan (Nekmat) yang diwakili pengerusinya, Abdul Hamid Bahari menunaikan zakat perniagaan bagi tahun kewangan 2019 berjumlah RM1.11 juta,” katanya.
Turut hadir Pengerusi LZS, Tan Sri Syed Anwar Syed Putra Jamalullail.
LZS menegaskan kesemua bayaran zakat perniagaan adalah bagi tahun kewangan 2019 dan 2020. -K!ONLINE