fbpx

Mereka yang pilih ‘childfree’ akan berasa rugi – Ellie Suriaty

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ellie berpendapat, ramai orang memilih pendekatan 'childfree' disebabkan desakan ekonomi.

PETALING JAYA – Pelakon Ellie Suriaty menganggap isu ‘childfree’ atau pasangan berkahwin yang tidak mahu anak adalah berpunca daripada masalah kegawatan ekonomi lebih-lebih lagi bagi golongan baru mendirikan rumah tangga.

Bagaimanapun, Ellie atau Ellie Suriaty Omar, 53, berpendapat bahawa pasangan yang sengaja enggan menimang cahaya mata disebabkan ingin bebas daripada komitmen akan berasa rugi.

“Perkara ini subjektif. Kemungkinan terjadi disebabkan ekonomi zaman sekarang terutama yang tinggal di Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Pulau Pinang dan Johor Bahru.

“Mungkin ekonomi di kampung masih okey tetapi apabila bercakap mengenai bandar besar membuatkan pasangan muda ambil keputusan mahukan ‘childfree’.

“Namun, bagi saya semuanya rezeki Allah untuk mendapatkan zuriat. Jadi, satu kerugian sekiranya tidak mahukan anak melainkan pasangan terbabit buat keputusan berbuat demikian,” katanya dalam satu temu bual bersama media.

Dalam masa sama, pelakon filem Memoir Seorang Guru itu berharap pasangan yang memilih untuk ‘childfree’ akan mengubah fikiran supaya dapat melahirkan keluarga yang lebih besar.

“Mungkin pada masa akan datang mereka akan ubah fikiran kerana manusia berubah-ubah.

“Perancangan keluarganya sekarang adalah ini (childfree) tetapi boleh diubah pada masa akan datang,” ujarnya lagi.

Beberapa hari sebelum, tular dalam aplikasi X mengenai isu ‘childfree’ dan setiap orang melontarkan pendapat berbeza.

Menurut laporan Kosmo! Online, sejak pandemik Covid-19, ada pasangan berkahwin yang memilih untuk tidak memiliki anak terutama membabitkan golongan muda.

Antara alasan diberikan adalah tidak bersedia bergelar ibu bapa, selesa hidup berdua dengan pasangan dan kenaikan kos sara hidup. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI