fbpx

KPDN laksana Kajian Semula Perundangan e-Dagang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pengarah Shopee Malaysia, Chua Cheng Xun (dua kanan) menyerahkan cenderamata kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali (tengah) selepas merasmikan Majlis Penutupan Shopee Seller Summit 2024 di Sunway Resort Hotel di sini, hari ini. GAMBAR: FARIZ RUSADIO / PEMBERITA: FATIN FILZATI/KOSMO!

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melaksanakan semakan semula kerangka perundangan sedia ada selaras dengan kemajuan dan perkembangan teknologi semasa.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, Kajian Semula Perundangan e-dagang sedang dilaksanakan bersama pasukan perunding pada Mei lalu dan dijangka selesai pada suku kedua tahun 2025.

“Kerangka perundangan baharu ini adalah bagi mengawal selia sektor e-dagang dengan lebih berkesan serta memastikan kepentingan dan hak pengguna sentiasa terpelihara.

“Selain itu, usaha ini merupakan inisiatif untuk memastikan satu kerangka perundangan e-dagang untuk lebih komprehensif sejajar dengan perkembangan teknologi, ” katanya ketika berucap di Majlis Penutupan Shopee Seller Summit 2024 di sini hari ini.

Menurutnya, perundangan yang akan dirangka semula adalah Akta Perdagangan Elektronik 2006, Akta Perlindungan Pengguna 1999 dan Peraturan Perlindungan Pengguna (Transaksi Perdagangan Elektronik) 2012.

Tambahnya, perkembangan pesat sektor e-dagang telah mewujudkan cabaran yang besar kepada pemain industri dan pengguna.

“Kementerian telah menerima sebanyak 5,094 aduan pengguna berkaitan transaksi e-dagang daripada 19,937 keseluruhan aduan yang diterima sejak 1 Januari 2024.

“Aduan berkaitan transaksi atas talian ini merupakan aduan pengguna yang tertinggi atau 25 peratus berbanding aduan lain yang dicatatkan oleh KPDN pada masa ini.

“Oleh itu, dengan kajian ini, kita akan memastikan sektor e-dagang menjadi medan ekonomi yang progresif dan mempunyai tahap kebolehpercayaan yang tinggi,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI