SUNGAI PETANI – Seorang penunggang motosikal maut dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 44.8 Jalan Alor Setar-Butterworth, dekat sini kira-kira pukul 10.55 pagi tadi.
Dalam kejadian itu, mangsa, Muhammad Zaim Azizi Sahak, 18, dari Kampung Sungai Toh Pawang, Bedong, dekat sini, meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala pemandu Toyota Hilux yang berusia 56 tahun cedera ringan di kepala.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, siasatan di tempat kejadian mendapati kemalangan membabitkan dua buah kenderaan iaitu sebuah motosikal jenis Honda dan Toyota Hilux.
“Ketika kejadian, Toyota Hilux tersebut dalam perjalanan dari arah Gurun menghala Sungai Petani, manakala mangsa menunggang motorsikal dari arah Bedong menghala Gurun.
“Apabila sampai di tempat kejadian, mangsa telah memasuki laluan bertentangan menyebabkan Toyota Hilux yang sedang bergerak lurus tidak sempat mengelak sehingga berlaku pertembungan,” katanya di sini hari ini.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE.