HAMBURG – Pasukan Turkiye berjaya menutup mulut pengkritiknya dengan membuktikan bahawa mereka mampu pergi lebih jauh pada Kejohanan Euro 2024 selepas menewaskan Republik Czech 2-1 sekali gus melangkah ke pusingan 16 terbaik.
Skuad kendalian Vincenzo Montella itu bertarung hebat dengan sokongan padu di Jerman sejurus kekalahan 0-3 mereka kepada Portugal yang meletakkan pasukan itu dalam kedudukan bahaya untuk tersingkir pada aksi Kumpulan F.
Bagaimanapun, Turkiye memberikan persembahan 100 peratus selepas mengambil peluang ke atas R. Czech yang bermain dengan 10 pemain untuk mara ke pusingan kalah mati buat pertama kali sejak berjaya melangkah ke separuh akhir Euro 2008.
“Kami sentiasa fokus dan bekerja keras, kami layak untuk mendapat tempat ke pusingan seterusnya.
“Kami telah berdepan kritikan yang tidak sepatutnya dilemparkan kepada pasukan ini dan kami berjaya mengatasinya.
“Saya sudah biasa dengan tekanan, saya tidak kisah, tetapi saya tidak suka apabila tekanan diberikan kepada pemain saya,” tegas Montella.
Ujar Montella, beliau mahu pasukannya itu terus bersemangat kerana mereka mempunyai misi baharu apabila berdepan Austria di Leipzig pada 3 Julai nanti untuk memburu tempat ke suku akhir edisi kali ini.
“Kini kami mempunyai matlamat baharu tetapi malam ini kami hanya mahu meraikannya. Kami berhak mendapatnya kerana ini adalah satu pengorbanan yang besar. Tetapi mulai esok, kami mahu terus mencipta sejarah,” tambahnya. – AGENSI