PETALING JAYA – Jabatan Penjara melaksanakan dua prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan wabak Covid-19.
Timbalan Menteri Dalam Negeri I, Datuk Seri Dr. Ismail Mohamed Said berkata, SOP dilaksanakan di institusi yang melibatkan penerimaan banduan baharu serta pengiringan banduan.
“SOP itu juga bagi menjamin keselamatan banduan, kakitangan penjara serta semua pihak yang terlibat dalam urusan penahanan.
“Jabatan Penjara juga mempunyai Perintah Tetap berhubung ujian saringan Covid-19 yang mewajibkan semua banduan menjalani saringan sebelum masuk ke penjara,” katanya pada Dewan Negara hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Lim Hui Ying yang ingin tahu langkah serta perancangan kerajaan bagi menangani penularan wabak Covid-19 dalam kalangan banduan dan kakitangan penjara.
Dalam pada itu, Ismail memaklumkan, kerajaan tidak bercadang untuk memendekkan tempoh penjara banduan sepanjang penularan wabak Covid-19.
“Bagi mengurangkan kesesakan di dalam penjara, beberapa program termasuk sistem parol, perintah kehadiran wajib serta pembebasan banduan secara lesen dibenarkan,” katanya. – K! ONLINE