FRANKFURT – Ketua jurulatih Romania, Edward Iordanescu menafikan pasukannya sudah berpakat dengan Slovakia untuk meraih keputusan seri 1-1 agar kedua-dua negara mara ke pusingan 16 terbaik Euro 2024 kali ini.
Pada aksi terakhir Kumpulan E itu, kedua-dua pasukan berpeluang untuk melakar sejarah dengan melepasi peringkat kumpulan jika berkongsi mata tanpa menghiraukan apa yang berlaku pada satu lagi saingan melibatkan pasukan Belgium dan Ukraine.
Gol-gol pada perlawanan itu dijaringkan oleh pemain Slovakia, Ondrej Duda pada minit ke-24 sebelum Romania bangkit menyamakan kedudukan menerusi Razvan Marin (m-37).
Menurut Iordanescu, semua pemain memberikan seratus peratus di atas padang dan fokus untuk memburu tiga mata berharga.
Iordanescu percaya dakwaan pihak luar tidak berasas kerana apa yang penting ketika ini adalah Romania berjaya menamatkan penantian 24 tahun untuk mara ke peringkat kalah mati.
“Anda boleh saksikan sendiri perlawanan ini kedua-dua pasukan mempamerkan corak permainan terbuka sepanjang 80 minit perlawanan. Selepas itu pemain mungkin agak kepenatan dan mengendurkan sedikit serangan.
“Namun, dakwaan bahawa pasukan bermain untuk keputusan seri sangat tidak berasas kerana Romania adalah negara yang memiliki maruah besar dan pemain akan terus berjuang sehingga wisel penamat,” katanya. – AGENSI