GEORGE TOWN – Seorang pekerja arang batu didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan menganggotai satu pertubuhan menyalahi undang-undang iaitu ‘Geng Chandra’ sejak Januari 2016 hingga Jun tahun ini.
Tertuduh, B. Jagandran, 49, bagaimanapun mengaku tidak bersalah setelah pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret Nadratun Naim Mohd. Saidi.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang masih bujang didakwa menjadi anggota ‘Geng Chandra’ yang merupakan satu pertubuhan yang menyalahi undang-undang, antara Januari 2016 hingga 18 Jun 2024.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335) dan boleh dihukum di bawah peruntukan yang sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya sekali.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, M. Darrshini manakala tertuduh diwakili peguam, K. Mahendran.
Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan terhadap tertuduh sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetap 5 Ogos depan sebagai sebutan semula kes.
Kosmo! difahamkan, tertuduh telahpun selesai membayar jaminan yang dikenakan terhadapnya tengah hari tadi. – KOSMO! ONLINE