fbpx

Reman suspek kes bunuh isteri disambung enam hari lagi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
LELAKI yang ditahan kerana dipercayai membunuh isterinya di sebuah hotel di Pekan Batu Gajah semalam, dibawa untuk prosiding reman di Mahkamah Majistret Batu Gajah 21 Jun lalu.

BATU GAJAH – Tempoh tahanan reman suspek kes tikam isteri hingga mati di sebuah hotel di Pekan Batu Gajah di sini minggu lalu, disambung enam hari lagi.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Md Noor Aehawan Mohammad berkata, permohonan reman itu dibuat selepas tempoh reman selama tujuh hari ke atas suspek berusia 37 tahun itu berakhir hari ini.

Katanya, lanjutan tempoh reman itu bagi membolehkan siasatan terperinci dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dengan niat.

“Reman disambung enam hari lagi sehingga Rabu depan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menerusi laporan media pada Khamis lalu, seorang wanita berusia 32 tahun ditemui mati dengan kesan tikaman di badan dalam sebuah bilik hotel di sini.

Kejadian malang itu terbongkar selepas seorang lelaki yang juga suami mangsa tampil menyerah diri kepada polis sekitar pukul 2 petang hari yang sama.

Siasatan awal mendapati, motif suspek melakukan perbuatan itu kerana tidak berpuas hati dengan tindakan isterinya yang mahu meneruskan tuntutan fasakh walau pun setelah dipujuk.

Berdasarkan semakan, pasangan suami isteri itu datang ke hotel berasingan dan menginap di hotel itu pada Rabu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI