PETALING JAYA – Pasangan yang mengambil keputusan tidak mahu mempunyai anak kerana terpengaruh dengan fahaman ‘childfree’ berisiko mengalami masalah mental selain memudaratkan kesihatan diri.
Pakar Perubatan Keluarga, Medical Mythbuster Malaysia, Dr. Sakinah Sulong berkata, childfree sering digambarkan seolah-olah suatu perkara yang menyeronokkan kerana tidak mempunyai anak dan boleh terhindar daripada masalah hidup.
“Isu ini sudah diperkatakan awal abad ke 20, dan dipopularkan pada 1970-an oleh golongan feminis, apa yang jadi perhatian adalah, apabila ada segelintir menggambarkan seolah-olah ini adalah pilihan yang menyeronokan.
“Perkara ini mungkin nampak menyeronokkan tetapi dalam jangka masa panjang, ini boleh menjejaskan kesihatan mental dan emosi pasangan itu sendiri,” katanya dalam satu sesi temubual bersama agensi media tempatan.
Tambah Dr. Sakinah selain impak kepada masalah mental, pemilihan untuk berkahwin tanpa anak juga menyebabkan tahap kesuburan seorang wanita menurun selain menjejaskan pembangunan keluarga dan negara.
“Seandainya wanita itu baru mula terasa sunyi dan mahu ada anak pada umur 40, pada masa itu, kesuburan sudah menurun, jadi akan memberi kesan kepada masalah mengandung dan emosi seseorang wanita.
“Trend ini juga akan kekurangan generasi muda yang penting untuk pembangunan keluarga dan negara, sebab kalau tiada orang muda siapa yang akan jadi tenaga kerja kita, masa akan datang, siapa nak sediakan bantuan penjaagan pada orang tua.
“Di Jepun, ada satu istilah ‘konokusyi’ (dying alone) orang tua terpaksa mati seorang diri kerana tiada keluarga yang jaga dan tak ambil kisah. Di Taiwan pun, lebih banyak ibu bapa memlih untuk ada haiwan peliharaan berbanding ada anak,” jelasnya.
Sementara itu, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, pengakuan yang mengatakan mereka tidak mahu anak, sebenarnya telah menukar matlamat sebenar perkahwinan kecuali atas sebab uzur atau keadaan tertentu.
“Kefahaman berkaitan childfree tidak menepati perkara yang dianjurkan oleh Islam kerana masalah anak bukan masalah kita. Sesiapa yang berkata anak membuatnya fakir, miskin dan membebankan, ini adalah pendapat yang jauh menyimpang dari apa Allah sebut dalam al-Quran kerana tidak yakin dan tawakal.
“Berapa ramai orang kesuburannya baik tetapi tidak dapat anak? ini kerana anak ini adalah milik Allah, Allah yang boleh bagi dan tidak.
“Pemikiran seperti ini akan mengecewakan diri sendiri apabila sudah berusia yang tidak memungkinkan lagi pada zahir dan fitrah manusia untuk mendapatkan anak kerana ketika itu baru sedar akan pentingnya anak dalam kehidupan keluarga sebagai penerus generasi untuknya,” katanya.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan sejak pandemik Covid-19, ada pasangan di negara ini yang berkahwin, namun memilih untuk tidak memiliki anak atau childfree terutama melibatkan golongan muda.
Antara alasan yang diberikan adalah tidak bersedia bergelar ibu bapa, selesa hidup berdua dengan pasangan dan kenaikan kos sara hidup.
Pakar Motivasi dan Kaunseling Rumah Tangga, Hushim Salleh berkata, situasi itu menyebabkan ada pasangan yang mendirikan rumah tangga berkira-kira untuk memiliki cahaya mata kerana perlu menyediakan peruntukan besar sehingga RM400,000 seorang bagi membesarkan zuriat masing-masing. – KOSMO! ONLNE