fbpx

Amerika akan kembalikan aset 1MDB kepada Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Jho Low atau nama sebenarnya Low Taek Jho. - Getty Images

WASHINGTON  – Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (AS) telah mencapai persetujuan dengan ahli perniagaan kelahiran Malaysia yang kini dalam buruan, Jho Low untuk memulangkan lebih AS$100 juta (RM471 juta). 

Perbadanan Penyiaran Britain (BBC) melaporkan semalam, wang tersebut didakwa diselewengkan daripada dana kekayaan milik Malaysia sebagai sebahagian daripada skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB). 

Washington berkata, karya seni oleh artis Andy Warhol dan Claude Monet serta sebuah apartmen mewah di Paris akan dicairkan. Manakala aset bernilai AS$67 juta (RM315.7 juta) akan dikembalikan kepada Malaysia. 

Pendakwa raya AS mendakwa bahawa aset itu dibeli dengan menggunakan wang tunai yang diperoleh untuk dana 1MDB antara  2012 hingga 2013. 

Jho Low yang menjadi orang buruan tidak diketahui keberadaannya.

“Aset itu akan menambah kira-kira AS$1.4 bilion (RM6.6 bilion) yang telah dikembalikan dengan bantuan AS,” kata Jabatan Kehakiman. 

Secara keseluruhan, lebih AS$4.5 bilion (RM21.2 bilion) didakwa dicuri daripada dana 1MDB.

Menurut Washington, sebagai sebahagian daripada perjanjian yang dicapai bersama Jho Low, keluarga dan entiti yang ditubuhkannya, ia akan menyelaraskan dengan negara-negara asing untuk memindahkan aset yang dipegang di luar negara ke Malaysia.

“Mereka  juga bersetuju untuk memulangkan kepada Malaysia hartanah dan wang tunai dalam akaun bank bernilai kira-kira AS$67 juta  yang disimpan di Hong Kong, Switzerland dan Singapura,” tambah Jabatan Kehakiman. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI