fbpx

[VIDEO] Alami masalah kesihatan, Azira Shafinaz simpan sendiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AZIRA berharap orang ramai berhenti membuat spekulasi mengenai masalah kesihatan yang dialaminya.

KUALA LUMPUR – “Biarlah apa yang berlaku hanya diketahui diri sendiri, pasukan dan Astro sahaja.”

Itu penegasan penyanyi juga pelakon Azira Shafinaz meminta khalayak menghentikan sebarang spekulasi berhubung pengunduran kumpulan De Fam daripada program The Hardest Singing Show (THSS) atas alasan kesihatan.

Menjadikan isu tersebut lebih panas apabila kumpulan trio wanita tersebut tampil membuat persembahan di acara pembukaan kedai fizikal Apple di The Exchange TRX seminggu selepas pengumuman tersebut dibuat.

Kata Azira atau nama lengkapnya Azira Shafinaz Ramlan, 33, keputusan tersebut tidak perlu dipertikaikan memandangkan sudah dipersetujui semua pihak.

“Saya mendapat nasihat doktor agar berhenti membuat persembahan di THSS. Kalau boleh saya mengharapkan agar semua dapat menerima keputusan De Fam ini.

“Saya telah berjumpa dengan ahli De Fam dan kami bertiga sudah berbincang dan sepakat untuk menarik diri. Perkara ini juga sudah dimaklumkan dengan pihak produksi Astro.

“Malah saya juga mempunyai surat pengesahan doktor yang menasihatkan agar tidak menyertai pertandingan itu.

“Biarlah apa yang berlalu kepada saya hanya diketahui oleh diri saya sendiri, pasukan saya dan pihak Astro sahaja,” katanya kepada Kosmo! Online ketika ditemui di majlis Pelancaran Viu Original, Nafsu di ibu kota semalam.

Sebelum nekad keluar daripada THSS, Azira sebenarnya sudah memberi bayangan mengalami masalah kesihatan ketika membuat persembahan pada minggu ketiga dan kelima.

Katanya, kesibukan jadual kerja ditambah pula dengan tekanan untuk membuat persediaan di THSS secara tidak langsung menjejaskan kesihatan dirinya.

“Sebelum ini saya pernah berkongsi hantaran bahawa mengalami masalah kesihatan. Tetapi, saya tidak mahu menjelaskan secara terperinci mengenai masalah kesihatan kerana perkara itu terlalu peribadi.

“Saya juga faham mengapa orang asyik mempertikaian keputusan kami setelah membuat persembahan baru-baru ini. Saya ingin jelaskan bahawa di THSS kami memerlukan komitmen dari Isnin hingga Ahad untuk mendapatkan idea dan latihan manakala persembahan baru-baru ini hanya masa sekitar 30 minit.

“Saya pula sibuk menjalani penggambaran sejak tahun lalu tanpa henti sehingga Februari kemudian sambung penggambaran beberapa projek lain dan seterusnya menyertai program THSS. Jadi mungkin juga tahap kesihatan saya sedikit terganggu,” katanya.

Susulan masalah kesihatan itu, Azira mengambil pendekatan untuk berehat selama sebulan sebelum memulakan penggambaran pada Ogos depan.

Sebelum ini, De Fam membuat keputusan untuk mengundurkan diri daripada THSS selepas lima minggu bersaingan dalam program realiti nyanyian itu.

De Fam mengumumkan keputusan mereka menarik diri pada minggu keenam menerusi tayangan video di THSS. – KOSMO! ONLINE

 

View this post on Instagram

 

A post shared by HIBGLAM (@hibglam.com.my)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI