PETALING JAYA – Sebuah rumah yang terkenal kerana masih mengekalkan keaslian seni bina tradisional Melayu di Kampung Baru dikenali sebagai ‘Rumah Biru’, dipercayai bakal dirobohkan.
Menurut salah seorang pemiliknya, Shafiq Abdullah di Facebook, ia bagi memberi laluan untuk pelaksanaan projek pembongkaran semula palong yang di tanam di bawah tanah rumah berkenaan.
Menerusi perkongsiannya itu, Shafiq memaklumkan, Jabatan Pengairan dan Saliran Kuala Lumpur akan mengambil masa kira-kira empat tahun bagi menyiapkan projek tersebut.
“Kampungku Kampung Baru, Kuala Lumpur di Jalan Salleh. Kini telah berakhir menetap di sini dari tahun 1984 hingga 31 Mei 2024.
“Maka dengan ini, secara rasmi kami semua telah keluar dari Rumah Biru untuk tempoh tiga atau empat tahun, dengan harapan selepas ini, kami pulang semula ke tanah kami ini,” katanya.
Dalam masa sama, Shafiq turut mengucapkan terima kasih kepada semua peminat rumah itu yang sering menjadi perhatian sebagai lokasi untuk bergambar.
“Jutaan terima kasih kepada semua pegunjung yang hadir secara rasmi mahu pun tidak ke rumah kami untuk bergambar.
“Mohon maaf salah silap kami sepanjang tempoh tersebut,” ujarnya.
Rata-rata orang ramai menzahirkan rasa sedih di atas keputusan berkenaan, malah tidak kurang juga mencadangkan supaya binaannya dicabut dan dipasang semula apabila dia dan keluarga kembali ke situ kelak.
“Ada modal rumah tu cabut, papan-papan tu bongkar simpan. Nanti habis kerja pasang semula,” cadang Mustakim.
“Cari tukang yang boleh buka dan pasang balik rumah tu. Sayang rumah cantik lagi,” komen Man Putra.
“Sedihnya…,” luah Linda Mazlan. – KOSMO! ONLINE