DUNGUN – Seorang wanita maut, manakala dua anaknya cedera ringan dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Kilometer 94.8, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan berhampiran Kampung Pinang Merah, Paka di sini hari ini.
Dalam kemalangan pada pukul 11.30 pagi itu, kereta Perodua Kancil dinaiki Nabilah Harun, 55, dikatakan tiba-tiba bertembung dengan sebuah kereta Perodua Axia yang terbabas sebelum dirempuh pula oleh sebuah lori di belakangnya.
Mangsa yang parah pada beberapa bahagian badan meninggal dunia sewaktu menerima rawatan di Hospital Dungun di sini.
Dua anak Nabilah iaitu Wan Muhammad Usamah Wan Rozali, 17 dan Wan Soffiyah, 19, pula masing-masing cedera ringan pada bahagian hidung dan mulut.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Maizura Abdul Kadir berkata, sewaktu kejadian, Nabilah dan dua anaknya dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah di Chukai, Kemaman dari Kuala Terengganu.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta Perodua Kancil dinaiki mereka dikatakan dirempuh sebuah kereta Perodua Axia dari laluan bertentangan yang tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas.
“Impak rempuhan itu menyebabkan kereta Perodua Kancil itu dilanggar pula sebuah lori yang berada di belakangnya,” katanya di sini hari ini.
Maizura berkata, dua anak Nabilah dan lelaki berusia 43 tahun memandu kereta Perodua Axia yang cedera ringan dihantar ke Klinik Kesihatan Paka di sini untuk menerima rawatan.
Tambah beliau, Nabilah yang cedera parah dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Dungun sebelum disahkan meninggal dunia beberapa jam kemudian. – KOSMO! ONLINE