fbpx

K2

Transaksi kanak-kanak jual beli barang tidak sah?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Menurut pendapat muktamad dalam mazhab Syafi’i, transaksi jual beli yang dilakukan oleh kanak-kanak adalah tidak sah. – Gambar hiasan

Assalamualaikum, saya ingin bertanya, adakah transaksi jual beli kanak-kanak dikira sah?

Jawapan: Hukum kanak-kanak melakukan transaksi jual beli adalah tidak sah, kecuali pada perkara dan benda yang kecil dan ringan seperti membeli gula-gula, menjual kepingan coklat dan sebagainya.

Perkara yang kecil dan ringan itu pula ditentukan oleh adat setempat yang melihatnya, sama ada ia sebagai suatu benda yang ringan atau tidak.

Meskipun begitu, bagi sesuatu benda yang besar dan bernilai tinggi, maka ia perlu kepada keizinan dan kelulusan para penjaganya.

Bagi transaksi jual beli yang dilakukan oleh kanak-kanak, kita perlu melihat keahlian seseorang itu untuk melakukan atau menjalankan sesuatu tindakan pengurusan atau sebarang transaksi menurut cara yang dibenarkan oleh syarak.

Dalam hal ini, ia dinamakan Ahliyyah al-Ada’ (yakni kelayakan melaksanakan tugas). Asas bagi pensabitan kelayakan ini ialah adanya akal dan kebolehan berfikir atau kebolehan membuat perbezaan (tamyiz).

Syeikh Wahbah al-Zuhaili ada mengklasifikasikan tindakan kanak-kanak kepada tiga keadaan iaitu:
1. Tindakan yang memberikan keuntungan semata-mata seperti perbuatannya menerima hadiah dan pemberian, menerima wasiat dan menerima jaminan hutang. Tindakan ini sah dilakukan oleh kanak-kanak yang mumaiyiz tanpa perlu mendapat keizinan ibu bapa ataupun wali, sebab tindakan itu mendatangkan faedah buatnya.
2. Tindakan yang mendatangkan kemudaratan yakni sebarang tindakan yang menyebabkan pengeluaran harta miliknya. Contohnya, perbuatan memberi hibah, memberi sedekah, memberi pinjam, menjamin hutang seseorang ataupun menjamin diri seseorang. Tindakan seperti ini adalah tidak sah dilakukan oleh kanak-kanak yang mumaiyiz belum baligh. Ia tetap tidak terlaksana sekalipun penjaga atau ibu bapanya membenarkan atas sebab wali tidak memiliki kuasa ke atasnya.
3. Tindakannya dalam urusan seperti jual beli, sewa-menyewa dan sebagainya yang terkandung di dalamnya konsep untung dan rugi. Perbuatan ini adalah sah dilakukan oleh kanak-kanak yang mumaiyiz tetapi bergantung ke atas keizinan atau kelulusan wali.

Peringkat kanak-kanak bermula sedari dia lahir sehinggalah dia mencapai waktu mumayyiz iaitu ketika umurnya tujuh tahun, seterusnya peringkat mumayyiz sehinggalah dia baligh dan berakal.

Menurut pendapat muktamad dalam mazhab Syafi’i, transaksi jual beli yang dilakukan oleh kanak-kanak adalah tidak sah. Hal ini kerana, seperti yang telah dinyatakan di atas, bahawa syarat orang yang mengadakan akad jual beli sama ada penjual mahupun pembeli mestilah terdiri daripada seorang yang matang fikirannya iaitu seorang yang baligh dan dapat mengurus agama dan hartanya dengan baik.

Firman Allah SWT: “Dan janganlah kamu berikan (serahkan) kepada orang-orang yang belum sempurna akalnya akan harta (mereka yang ada dalam jagaan) kamu, (harta) yang Allah telah menjadikannya untuk kamu semua sebagai asas pembangunan kehidupan kamu; dan berilah mereka belanja dan pakaian dari pendapatan hartanya (yang kamu niagakan), dan juga berkatalah kepada mereka dengan kata-kata yang baik.” (Al-Nisa’, 4:5)

Imam al-Qurtubi menafsirkan ayat ini menjelaskan bahawa tidak diharuskan memberikan harta kepada golongan safih (orang yang tidak mampu menguruskan harta) dan mereka yang masih belum baligh (kanak-kanak).

Sebaliknya diserahkan harta kepada mereka setelah mereka mencapai umur baligh, perkara ini ada disebut pada ayat seterusnya, firman Allah SWT:

Oleh yang demikian, kanak-kanak tidak berkelayakan untuk menguruskan harta mereka kerana mereka bukanlah mukalaf.

Kesimpulan berdasarkan kepada pandangan-pandangan yang telah dikemukakan di atas, dapat disimpulkan bahawa jual beli kanak-kanak untuk benda-benda kecil ini adalah sah.

Namun, untuk benda-benda yang besar dan bernilai tinggi, maka ia perlu kepada keizinan dan kelulusan para penjaganya. Wallahu A‘lam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI